Home Sukan HAALAND PERCAYA NORWAY PUNYA MASA DEPAN CERAH

HAALAND PERCAYA NORWAY PUNYA MASA DEPAN CERAH

28
0

MIAMI: Erling Haaland percaya aksi cemerlang Norway di Piala Dunia 2026 mampu memberi inspirasi kepada generasi baharu walaupun impian mereka berakhir selepas tewas 2-1 kepada England menerusi masa tambahan pada suku akhir, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, penyerang Manchester City itu gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam 15 perlawanan kompetitif bersama Norway apabila dua gol Jude Bellingham memastikan England mara ke separuh akhir.

Haaland, yang meledak tujuh gol dalam lima perlawanan pada kejohanan utama pertamanya, memainkan peranan besar membawa Norway ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun.

Kejayaan paling mencuri tumpuan ialah ketika Norway menyingkirkan juara lima kali, Brazil, pada pusingan 16 terbaik hasil dua jaringan Haaland.

“Cara kami meletakkan Norway di peta bola sepak dunia mungkin perkara yang paling menyentuh hati saya. 

“Saya harap selepas ini kami mampu terus mencipta sesuatu di Kejohanan Eropah, Piala Dunia dan kejohanan lain kerana generasi kami sangat hebat. 

“Semua ini juga memberi motivasi kepada anak-anak muda di Norway bahawa mereka mampu beraksi di pentas terbesar dunia dengan menyarung jersi Norway,” kata Haaland.

Populariti Haaland sebagai bintang bola sepak dunia terus meningkat sepanjang kejohanan di Amerika Syarikat, dengan ramai peminat baharu tertarik bukan sahaja kepada ketajamannya di depan gol, malah keperibadiannya di luar padang.

Pemain berusia 25 tahun itu berharap kejayaan kali ini menjadi asas untuk Norway muncul sebagai kuasa bola sepak dunia pada masa depan.

“Agak sukar untuk menghadam segala pengalaman sepanjang enam minggu ini.

“Saya rasa kejohanan ini mengubah Norway dan juga diri saya. Saya sudah berkali-kali mengatakan kami sedang membina sesuatu di Norway.

“Yang penting sekarang ialah mengekalkan momentum ini kerana kami sudah membuktikan Norway mampu menjadi antara negara bola sepak terbaik di dunia,” katanya.

Bellingham dan Haaland pernah bergandingan selama dua musim di Borussia Dortmund dan masih mengekalkan hubungan rapat.

Menurut Haaland, England amat bertuah memiliki pemain tengah bertaraf dunia seperti Bellingham.

“Kami melalui banyak detik menyeronokkan bersama dan saya langsung tidak terkejut dia menjaringkan dua gol hari ini serta mempamerkan aksi seperti itu.

“Pada saya, dia antara pemain terbaik dunia walaupun beraksi di bahagian tengah. Dia tetap mampu menjaringkan gol dan melepasi sesiapa sahaja di atas padang.

“Saya hanya mampu memuji Jude. Dia pemain yang luar biasa dan England sangat bertuah kerana semua pasukan pasti mahu memiliki pemain sepertinya,” tambahnya.

Walaupun Norway memerlukan gol untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti, Haaland dikeluarkan pada separuh masa pertama masa tambahan selepas bergelut dengan cuaca panas dan lembap di Miami.

Pengendali Norway, Stale Solbakken, mengakui beliau mungkin sepatutnya mengeluarkan Haaland lebih awal.

“Bukan keputusan yang sukar untuk mengeluarkannya kerana dia sudah keletihan dan mungkin saya patut berbuat demikian lebih awal.

“Kami menggunakan sepenuhnya tenaga dan kekuatannya dalam setiap perlawanan. Dia juga mengalami kecederaan ringan pada kaki pada babak kedua dan digabungkan dengan keletihan, dia sudah memberikan segala-galanya.

“Dia menjaringkan tujuh gol dalam lima perlawanan untuk kami. Satu kempen Piala Dunia yang hebat,” kata Solbakken. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here