Home Buletin Semasa BANGKIT SELEPAS KANSER TULANG, NUR IZATUL NAJWA KEJAR IMPIAN BERGELAR DOKTOR PAKAR

BANGKIT SELEPAS KANSER TULANG, NUR IZATUL NAJWA KEJAR IMPIAN BERGELAR DOKTOR PAKAR

23
0

Oleh:Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Pernah berdepan detik paling getir apabila disahkan menghidap kanser tulang pada usia muda, namun pengalaman itu tidak mematahkan semangat Nur Izatul Najwa Azlisshah, 18, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk mengejar cita-cita bergelar doktor pakar.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang itu berkata, impian tersebut semakin hampir menjadi kenyataan apabila berjaya melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Hayat, biarpun kini hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat kesan penyakit yang dialaminya.

Nur Izatul Najwa berkata, episod hitam hidupnya bermula pada 2017 apabila disahkan menghidap kanser tulang tahap satu dan terpaksa menjalani enam sesi rawatan kemoterapi bagi memusnahkan serta merencat pertumbuhan sel kanser.

Menurutnya, sepanjang tempoh rawatan, dia turut menjalani dua pembedahan pada bahagian kaki kanan masing-masing pada 2018 dan 2021, selain bergantung sepenuhnya kepada tongkat untuk bergerak.

“Selepas pembedahan memasukkan besi pada 2021 bagi memanjangkan kaki kanan antara dua hingga tiga sentimeter, lutut kanan tidak lagi boleh dibengkokkan selain tidak cukup kuat untuk berpijak.

“Kesan penyakit kanser tulang yang saya alami turut menyebabkan saya terpaksa menjalani pembedahan paru-paru. Banyak dugaan terpaksa ditempuhi yang memerlukan rawatan berterusan serta pembedahan bagi menyelamatkan nyawa.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana kini telah sembuh sepenuhnya daripada kanser tulang dan hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Nur Izatul Najwa yang memperoleh 8A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berkata, kecacatan kekal yang dialaminya tidak pernah menjadi penghalang untuk terus mengejar cita-cita sebagai doktor pakar jantung.

Menurutnya, rasa malu dan rendah diri kerana menggunakan tongkat telah dibuang jauh demi membuktikan kecacatan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam akademik.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, beliau berkata, kejayaan dalam pendidikan menjadi contoh terbaik buat dua adiknya selain mahu membanggakan kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa berada di sisi ketika melalui fasa paling sukar dalam hidup.

“Saya ingin membanggakan ibu dan ayah yang banyak membantu ketika saya susah dan senang, lebih-lebih lagi ketika diuji dengan penyakit kanser tulang yang menyebabkan saya menanggung kecacatan kekal.

“Saya bersyukur impian melanjutkan pengajian di UIAM akhirnya menjadi kenyataan dan peluang ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin tanpa rasa rendah diri hanya kerana menggunakan tongkat,” katanya yang berasal dari Segamat, Johor.

Sementara itu, rakannya, Diana Zulfa Zulli, 18, yang mengalami kecacatan pada tangan kanan akibat komplikasi ketika dilahirkan, turut berkongsi semangat yang sama untuk berjaya.

Menurut Diana, kecacatan fizikal bukan alasan untuk berhenti mengejar impian, sebaliknya peluang melanjutkan pengajian ke menara gading perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sebelum ini saya menjalani dua pembedahan bagi memperbetulkan kedudukan tulang pada tangan kanan dan meskipun hasilnya tidak mencapai 100 peratus, namun saya bersyukur terdapat perubahan yang membanggakan,” katanya yang berasal dari Selangor.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here