Home Buletin Semasa YIK-UNIVERSITI KOREA METERAI MoU, 10 PELAJAR KELANTAN KE DMU SEPTEMBER INI

YIK-UNIVERSITI KOREA METERAI MoU, 10 PELAJAR KELANTAN KE DMU SEPTEMBER INI

12
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dongyang Mirae University (DMU), Republik Korea, sekali gus membuka laluan pendidikan dan latihan kemahiran bertaraf antarabangsa kepada anak-anak Kelantan, khususnya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Menerusi hantaran di laman rasmi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, majlis itu menjadi kemuncak lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Kelantan ke Republik Korea.

MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, yang mewakili YIK, manakala DMU diwakili Presidennya, Kim Kyo Il.

Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan turut disambut oleh Kim Kyo Il bersama barisan pengurusan tertinggi Dongyang Mirae University.

“Melalui kerjasama itu, YIK akan menghantar seramai 10 pelajar Kelantan untuk mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di DMU bermula September ini. Pihak universiti turut menyediakan kemudahan penginapan secara percuma khusus kepada pelajar Kelantan.

“Bagi membantu pembiayaan pengajian, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menawarkan kemudahan pinjaman boleh ubah kepada pelajar yang terlibat bagi meringankan beban mereka dan keluarga, sekali gus membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian,”katanya pada Khamis.

Beliau berkata DMU bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek teori, malah mengutamakan penguasaan kemahiran, latihan praktikal dan pendedahan kepada keperluan industri, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang berilmu serta berkemahiran untuk bersaing di peringkat global.

Sepanjang lawatan berkenaan, delegasi turut dibawa melawat sekitar kampus DMU, kemudahan pembelajaran serta rumah penginapan yang disediakan kepada pelajar Kelantan bagi melihat sendiri suasana pengajian dan kemudahan yang bakal dimanfaatkan.

Dalam masa sama, penghargaan turut dirakamkan kepada Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan (AGIKO) yang memainkan peranan penting dalam membuka laluan awal kepada kerjasama tersebut melalui inisiatif, jaringan dan sokongan sehingga MoU antara YIK dan DMU berjaya direalisasikan.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga saya rakamkan kepada AGIKO yang sudah memainkan peranan penting dalam membuka jalan awal kepada usaha kerjasama ini.

“Kerjasama itu diharap menjadi permulaan yang baik dalam memperkukuh hubungan pendidikan antara Kelantan dan Republik Korea, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Kelantan pada masa hadapan,”katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here