Home Luar Negara TINGKAP PESAWAT ‘TERTANGGAL’, PENUMPANG HAMPIR DISEDUT KELUAR

TINGKAP PESAWAT ‘TERTANGGAL’, PENUMPANG HAMPIR DISEDUT KELUAR

54
0

THESSALONIKI, GREECE: Seorang lelaki hampir tersedut keluar melalui tingkap sebuah pesawat Ryanair selepas tingkap itu ‘tertanggal’ ketika penerbangan dari Greece ke Jerman, Jumaat lalu, namun penumpang lain berjaya menariknya kembali ke dalam pesawat.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, menurut pihak berkuasa, penumpang warga Serbia itu dimasukkan ke hospital akibat melecur kerana geseran, namun dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Seorang penumpang berkata, kebanyakan penumpang sedang tidur sebelum terdengar bunyi kuat seperti tayar meletup.

“Kami segera menyedari berlaku penyahmampatan dan terdengar jeritan… saya menyangka seseorang secara tidak sengaja membuka pintu kecemasan.

“Topeng oksigen turun dan kami bau sesuatu yang kuat. Kepala dan bahu seorang penumpang berada di luar tingkap. Mujur dia tidak menanggalkan tali pinggang keledarnya,” katanya penumpang itu. 

Media Greece melaporkan kejadian berlaku ketika pesawat berada di ruang udara Macedonia Utara selepas tingkap itu dipercayai pecah akibat terkena serpihan yang tercabut dari salah satu enjin pesawat. 

Dalam pada itu, Ryanair dalam kenyataan memaklumkan, pesawat itu berpatah balik ke Thessaloniki sejurus selepas berlepas apabila tingkap penumpang tertanggal ketika penerbangan.

Menurut syarikat penerbangan itu, pesawat berkenaan mendarat seperti biasa dan semua penumpang kembali ke terminal.

Ryanair berkata, sebuah pesawat gantian kemudian disediakan untuk membawa baki penumpang ke Memmingen, Jerman.

Pengeluar pesawat Boeing pula memaklumkan, pihaknya menyedari insiden itu dan sedang berhubung dengan Ryanair.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengesahkan, insiden itu membabitkan tingkap yang pecah pada sebuah pesawat Boeing 737-800.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata, Macedonia Utara akan mengetuai siasatan dengan sokongan wakil serta penasihat teknikal daripada FAA, Boeing dan General Electric Aerospace.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here