Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kerajaan Pulau Pinang komited memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan termasuk ibu tunggal, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 yang menekankan pembangunan inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata golongan ibu tunggal wajar diberi perhatian kerana bukan sahaja memainkan peranan besar dalam membesarkan keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, di bawah Inisiatif Strategik Visi Penang2030 bagi meningkatkan penyertaan wanita dan warga emas dalam kehidupan masyarakat, kerajaan negeri merekodkan pencapaian keseluruhan sebanyak 75 peratus.
“Dalam aspek kesukarelawanan pula, seramai 17,241 sukarelawan wanita dan warga emas telah direkodkan, iaitu 86 peratus daripada sasaran 20,000 sukarelawan menjelang tahun 2030.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pembangunan negeri turut dipacu oleh kekuatan komuniti,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah CM Chow Bersama Komuniti Ibu Tunggal di Masjid Jamek Permatang Kebun Sireh, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut memperkukuh pelaksanaan Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) menerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi memastikan setiap dasar, program dan agihan sumber memenuhi keperluan rakyat, khususnya golongan wanita.
Katanya, komitmen itu diperkasakan lagi pada 2026 menerusi inisiatif Bandar Mesra Usia yang mewajibkan penilaian implikasi bajet terhadap faktor jantina serta penuaan di peringkat akar umbi.
“Melalui pendekatan ini, setiap perancangan komuniti dan infrastruktur fizikal direka bentuk secara selamat serta saksama, sekali gus membuktikan dana negeri diuruskan secara holistik tanpa meminggirkan sesiapa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chow berkata seramai 4,052 usahawan wanita kini terbabit dalam ekosistem keusahawanan negeri, bersamaan 81 peratus daripada sasaran interim Penang2030.
Beliau berkata, melalui PWDC, Program PENMentor telah memberi manfaat kepada 428 usahawan wanita dengan purata peningkatan pendapatan sebanyak 30 peratus selepas mengikuti program berkenaan.
“Ini membuktikan bahawa apabila wanita diberikan ilmu, bimbingan dan peluang, mereka mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta membuka peluang kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut menggalakkan usahawan wanita, khususnya ibu tunggal, meningkatkan kemahiran digital dengan memanfaatkan platform e-dagang, menguasai pemasaran dalam talian serta menggunakan kecerdasan buatan (AI) secara bijaksana bagi meningkatkan produktiviti, penjenamaan dan akses kepada pasaran yang lebih luas.
Menurutnya, Program Jelajah CM Chow Bersama Komuniti Ibu Tunggal bukan sahaja menjadi platform mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan, malah memperluaskan jaringan kerjasama dengan sektor korporat, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi.
Pada masa sama, beliau menyeru sektor swasta supaya melihat usahawan mikro tempatan, khususnya ibu tunggal, sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan negeri dengan membuka lebih banyak peluang sebagai pembekal, pengeluar produk tempatan dan rakan niaga.
“Apabila kita memperkasakan seorang ibu, kita memperkukuhkan sebuah keluarga. Apabila keluarga menjadi lebih kukuh, komuniti akan menjadi lebih berdaya tahan. Inilah asas kepada sebuah Pulau Pinang yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, malah kaya dengan nilai kemanusiaan, keprihatinan dan kesejahteraan sosial,” katanya.
IMedikel TV






