Home Buletin Semasa ONN HAFIZ ANGKAT SUMPAH MENTERI BESAR JOHOR DI HADAPAN PEMANGKU SULTAN

ONN HAFIZ ANGKAT SUMPAH MENTERI BESAR JOHOR DI HADAPAN PEMANGKU SULTAN

30
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor,Tunku Mahkota Ismail, di sini hari ini.

Dalam hantaran terbaharu di media sosial The Royal Johor memaklumkan, Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Istiadat tersebut dimulakan dengan bacaan Surat Tauliah Menteri Besar Johor oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Hadir sama, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor. Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Onn Hafiz mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Machap dengan majoriti 15,375 undi ke atas pencabar iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 yang berlangsung semalam, BN berjaya membentuk kerajaan dengan meraih 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 yang dipertandingkan.

Sementara itu, dalam hantaran media sosial Facebook rasminya Onn Hafiz mengumumkan Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor susulan PRN Johor Ke-16.

Katanya pengisytiharan itu dibuat atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurut beliau, cuti peristiwa berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam PRN Johor Ke-16.

Dalam kenyataan sama, Onn Hafiz turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas limpah perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan baginda melantik dirinya sebagai Menteri Besar Johor.

“Patik juga dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Mahkota Ismail, atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.

“Patik akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.

“Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini,”katanya dalam hantaran terbabit.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here