GILIMANUK, Indonesia: Ratusan anggota penyelamat Indonesia semalam memperluaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan puluhan mangsa yang masih hilang selepas sebuah feri karam dalam laut bergelora ketika dalam perjalanan ke pulau percutian Bali.
Sehingga malam Jumaat, enam mayat sudah ditemukan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, feri yang membawa sekurang-kurangnya 65 orang termasuk penumpang dan anak kapal itu sedang melakukan perjalanan sejauh lima kilometer dari Pulau Jawa Timur ke Bali apabila ia senget sebelum karam akibat cuaca buruk pada malam Rabu, menurut saksi dan pihak berkuasa.
Sehingga petang Jumaat, seramai 29 orang masih dilaporkan hilang, menurut pegawai operasi SAR nasional, Ribut Eko Suyatno, yang mengesahkan jumlah korban kekal enam.
Beliau berkata, pasukan penyelamat mengesahkan berlaku kekeliruan dalam angka awal apabila dua mangsa yang selamat disangka sebagai seorang disebabkan nama yang hampir sama dalam senarai penumpang feri.
Menurut Ribut, pencarian pada Jumaat dijalankan dari laut dan udara, termasuk di sepanjang pesisir pantai Jawa Timur dan Bali.
“Unit penyelamat darat diarahkan menyisir Pantai Ketapang dari utara ke selatan, begitu juga di Gilimanuk.
“30 orang selamat… 29 orang sedang dicari,” katanya sambil memaklumkan angka mangsa hilang dikurangkan seorang.
Seorang daripada mangsa yang maut ialah kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Mangsa yang terselamat pula menceritakan detik cemas itu sambil menitiskan air mata, termasuk seorang lelaki yang kehilangan isterinya.
“Saya sedang bergurau dengan isteri. Tiba-tiba… feri itu senget. Kejadian berlaku sangat pantas,” kata Febriani, 27, seorang daripada mangsa terselamat.
Lelaki itu yang sambil menangis berkata, dia pasrah memohon doa kepada Tuhan untuk keselamatan isteri namun reda apabila diberitahu isterinya terkorban dalam kejadian itu.
“Saya terjun bersama isteri. Saya berjaya naik semula, tetapi isteri saya hilang terlepas,” katanya.
Feri berkenaan berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Jawa ke Pelabuhan Gilimanuk, Bali iaitu salah satu laluan paling sibuk di negara republik itu. Perjalanan biasanya mengambil masa sekitar satu jam.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa feri KMP Tunu Pratama Jaya itu karam selepas 25 minit perjalanan.
Sekurang-kurangnya 306 anggota penyelamat dikerah pada Jumaat, termasuk dari agensi SAR Surabaya, tentera laut dan polis.
Pencarian dihentikan sementara pada malam Khamis sebelum disambung kira-kira 8 pagi Jumaat di Bali. Ia akan disambung semula pada pagi ini.
Antara usaha yang dijalankan termasuk penggunaan bot penyelamat getah, kapal lebih besar dan helikopter.
Sekurang-kurangnya empat mangsa ditemukan selamat pada awal Khamis selepas mereka berjaya menaiki bot penyelamat.
Bagaimanapun, usaha awal terjejas akibat cuaca buruk dengan ombak setinggi 2.5 meter dan angin kencang.
Senarai penumpang menunjukkan terdapat 53 penumpang dan 12 anak kapal, namun di Indonesia jumlah sebenar sering berbeza dengan senarai penumpang.
Insiden laut sering berlaku di negara kepulauan itu yang mempunyai sekitar 17,000 pulau, antara lain berpunca daripada piawaian keselamatan yang longgar serta cuaca buruk.
Mac lalu, satu bot yang membawa 16 orang terbalik di perairan bergelora berhampiran Bali, mengorbankan seorang wanita warga Australia dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang lagi.
Pada 2018, lebih 150 orang lemas apabila satu feri karam di satu daripada tasik terdalam dunia di Pulau Sumatera. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






