Home Buletin Semasa PENDIDIKAN BATU LONCATAN UBAH MASA DEPAN

PENDIDIKAN BATU LONCATAN UBAH MASA DEPAN

338
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Usah abaikan pelajaran kerana melalui pendidikan sahaja boleh menjamin masa depan seseorang.

Begitu luahan Mohamad Danial Ikhwan Mamat, 18, dari Kampung Tok Uban, di sini, tatkala ramai yang memandang enteng tentang pendidikan demi mencapai kepuasan dalam hidup.

“Pesanan saya kepada semua supaya belajar bersungguh-sungguh dan pastikan kita mendapat keputusan yang baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Jangan jadikan pendapatan keluarga atau kehidupan keluarga yang sederhana sebagai penghalang untuk kita belajar.

“Kita masih mempunyai guru-guru yang sentiasa menyokong kita. Jadi jangan malu untuk memohon bantuan daripada mereka,”katanya.

Menurut bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli itu, dia yang datang dari keluarga sederhana bakal melanjutkan pengajian ke sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pagoh, Johor dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Anak kepada pasangan Mamat Samat, 58, dan Zakiah Nawang, 48, itu mendapat keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Menurut Mohamad Danial Ikhwan, ayahnya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sebanyak RM800 sebulan, manakala ibunya mengambil upah mengemas rumah dengan upah RM35 sehari.

Katanya, dia bercita-cita untuk menjadi seorang askar kerana minat mendalam dalam bidang tersebut.

“Pilihan pertama saya adalah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tetapi tiada rezeki sebab cita-cita saya menjadi askar.

“Saya merancang untuk masuk PALAPES apabila masuk universiti nanti. Jadi saya masih berpegang kepada cita-cita saya untuk menjadi askar,”katanya.

Impian anak ketiga daripada empat beradik itu adalah untuk membanggakan ibu bapa serta membawa mereka mengerjakan umrah suatu hari nanti.

“Harapan saya sebagai anak lelaki, saya ingin pastikan keluarga terutama ibu bapa saya hidup senang dan tidak perlu bersusah payah dan membawa mereka mengerjakan umrah.

“Pendidikan ini perkara utama dalam hidup, kerana jika kita pergi ke mana sekalipun termasuk dalam sektor pekerjaan, mereka akan tanya tahap Pendidikan kita

“Jadi saya rasa pelajaran itu amat penting dalam hidup kita,”katanya.

Menurut Mohamad Danial Ikhwan, dia berterima kasih kepada mereka yang membantunya dalam membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian.

Katanya dia akan mendaftar ke universiti pilihannya pada 20 Julai ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here