Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agrobank menyasarkan golongan asnaf dan berpendapatan rendah (B40) yang menyertai program pembangunan ekonomi kendaliannya mampu keluar daripada kategori penerima bantuan dan seterusnya menjadi pembayar zakat pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Syariah Agrobank, Wan Rumaizi Wan Husin, berkata, pendekatan pengagihan zakat tidak seharusnya tertumpu kepada bantuan keperluan harian semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan kepada program pembangunan ekonomi yang mampu menjana pendapatan secara berterusan.
Menurutnya, sejak 2015 hingga 2024, Agrobank telah mengagihkan zakat perniagaan secara berterusan kepada golongan yang layak menerusi pelbagai inisiatif termasuk program pembangunan komuniti dan keusahawanan.

“Matlamat kita ialah untuk memperkasa asnaf supaya mereka dapat keluar daripada kelompok penerima zakat. Kita mahu mereka berkembang sehingga mampu menjadi pembayar zakat pula pada masa depan.
“Konsep pengagihan zakat secara produktif terbukti mampu membantu meningkatkan taraf hidup penerima melalui latihan kemahiran, bimbingan perniagaan dan peluang pekerjaan yang mampan,” katanya ketika merasmikan Program Hijrah Asnaf Penghasilan Baja Organik di Tok Bali, di sini, hari ini.
Menurutnya, Agrobank sebelum ini telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan asnaf di seluruh negara termasuk tanaman kelapa, cendawan tiram, cili fertigasi, akuakultur, rumpai laut, nanas dan beberapa sektor agromakanan lain.
Sementara itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Bahagian Pembangunan Agrobank, Rosli Jusoh berkata, program Hijrah Asnaf Penghasilan Baja Organik yang dilancarkan di Kelantan hari ini melibatkan 10 peserta daripada golongan asnaf dan B40 dengan nilai kos pelaksanaan berjumlah RM637,108.

Katanya, program yang dilaksanakan dengan kerjasama MSR Growth Sdn Bhd sebagai syarikat peneraju itu memberi latihan teknikal berkaitan penghasilan baja bio-organik selain pembangunan kapasiti, pengurusan kewangan, pemasaran dan kemahiran keusahawanan.
“Peserta disasarkan memperoleh pendapatan sekitar RM3,500 hingga RM4,000 sebulan selepas mengikuti program ini. Pada akhir program selama setahun, mereka mempunyai pilihan sama ada bekerja dengan syarikat peneraju atau mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang penghasilan baja organik,” katanya.
Rosli berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Agrobank iTEKAD Employment yang menyasarkan pembangunan lebih 300 peserta asnaf dan B40 di seluruh negara menerusi dana melebihi RM12 juta hasil kerjasama Agrobank, Bank Negara Malaysia dan rakan strategik lain.
Katanya, program berkenaan turut menyediakan elaun sara hidup, perlindungan takaful serta penempatan pekerjaan bagi memastikan peserta mempunyai laluan jelas untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin serta Pengarah MSR Growth Sdn Bhd, Muhammad Saifullah Ramli.
IMedikel TV






