Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) memperkenalkan pendekatan penjagaan aurat pesakit menerusi penyediaan pakaian khas serta perlindungan fizikal bagi memastikan maruah dan privasi pesakit terpelihara ketika menjalani prosedur perubatan.
Inisiatif menerusi Garis Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin itu menjadikan HRPZ II hospital pertama di negara ini melaksanakan garis panduan berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, pendekatan itu berteraskan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa, maruah dan agama.
Menurutnya, garis panduan berkenaan turut mengambil kira prinsip Fiqh Perubatan yang membenarkan pendedahan aurat atas dasar darurat, namun hanya mengikut kadar keperluan prosedur klinikal.
Katanya, antara pendekatan diperkenalkan termasuk penyediaan tudung dan pakaian dalam pakai buang, selain penggunaan kain penutup steril serta selimut tambahan bagi memastikan bahagian tubuh yang tidak terbabit dalam prosedur kekal terlindung.
“Kalau di dewan bersalin, pakaian khas disediakan dengan hanya bahagian tertentu yang diperlukan untuk prosedur didedahkan, manakala bahagian lain termasuk paha dan betis ditutup.
“Di dewan bedah pula, pakaian dalam pakai buang disediakan oleh pihak hospital bagi memenuhi keperluan kebersihan dan pada masa sama menjaga aurat pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Unit Spiritualiti dan Kesihatan (USK) HRPZ II serta Garis Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin hospital berkenaan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam situasi kecemasan klinikal, keutamaan tetap diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa pesakit sebelum aurat ditutup semula sebaik keadaan mereka stabil.
“Pelaksanaan garis panduan itu juga diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat, khususnya golongan wanita yang sebelum ini mungkin berasa malu atau bimbang mendapatkan rawatan dan memilih untuk bersalin di luar fasiliti kesihatan.
“Proses kelahiran boleh berdepan komplikasi yang tidak dijangka termasuk pendarahan berterusan, masalah pengeluaran uri serta kedudukan bayi tidak normal yang memerlukan tindakan segera petugas perubatan terlatih,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyasarkan semua ibu di Kelantan mendapatkan perkhidmatan bersalin di fasiliti kesihatan sama ada hospital atau klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan berkaitan.
Dalam perkembangan sama, HRPZ II turut menjadi hospital keenam di negara ini yang menyediakan perkhidmatan USK, sekali gus berperanan sebagai hab perintis penjagaan spiritual di Wilayah Pantai Timur.
Menurutnya, penubuhan unit itu bertujuan memperkukuh sokongan psikologi dan kerohanian kepada pesakit serta ahli keluarga, khususnya ketika berdepan penyakit serius dan situasi sukar.
Beliau berharap model pelaksanaan garis panduan penjagaan aurat dan pengurusan USK yang dibangunkan HRPZ II dapat dijadikan penanda aras untuk diperluas ke fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara.
Katanya garis panduan itu diperkenal khususnya melalui Jabatan Pembedahan Am, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Urologi, Pembedahan Mulut dan Maksilofasial, Otorinolaringologi dan Oftalmologi.
IMedikel TV






