Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil tanggungjawab menjaga mangsa rogol secara sementara sekiranya tiada ahli keluarga yang layak atau berkemampuan, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata selain perlindungan fizikal, mereka berhak menerima sokongan psikososial yang sewajarnya bagi proses pemulihan emosi dan mental.
“Saya tegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang mesti diberi perhatian serius.
“Saya merujuk kes seorang kanak-kanak perempuan yang dirogol seorang penjual nasi lemak yang merupakan teman lelaki kepada ibu kandungnya, ketika berusia 12 tahun di sebuah rumah di Hulu Langat pada pertengahan tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Beliau berkata, kes itu amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana masyarakat yang menghargai keselamatan serta maruah kanak-kanak.
Justeru, beliau menggesa masyarakat agar terus peka terhadap isu penderaan kanak-kanak, dan sekiranya berlaku kes penderaan atau pengabaian, orang ramai boleh melaporkan kepada Talian Kasih iaitu 15999 atau pejabat JKM yang berhampiran.
“Kita akan terus memperkukuh langkah-langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini,” katanya.
IMedikel TV






