Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Masalah banjir kilat yang menyebabkan air bertakung hampir sebulan di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Pengkalan Chepa memerlukan penyelesaian melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana ia berkait dengan laluan air yang terhalang oleh jalan persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Hilmi Abdullah, berkata, kawasan berkenaan sememangnya menjadi lokasi takungan air kerana kedudukannya yang rendah selain menerima aliran air dari kawasan sekeliling.
Menurutnya, masalah utama berlaku apabila air yang terkumpul tidak mempunyai laluan mencukupi untuk menyeberangi Jalan Raja Perempuan Zainab II sebelum mengalir ke Sungai Pengkalan Datu.

“Kalau tiada laluan merentasi jalan tersebut, air akan terus terkepung dan bertakung. Cadangan yang dikenal pasti ialah pembinaan ‘culvert crossing’ merentangi jalan persekutuan bagi membolehkan air mengalir ke sungai berhampiran,” katanya kepada IMedikel TV bagi mengulas isu tersebut, hari ini.
Beliau berkata, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut memantau keadaan itu, namun penyelesaian menyeluruh memerlukan tindakan JKR dan JPS kerana ia melibatkan jalan utama persekutuan serta sistem saliran ke sungai di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.
Menurut Hilmi, beliau dimaklumkan wakil penduduk telah mengemukakan permohonan kepada JKR Persekutuan dan perkara itu kini telah dipanjangkan kepada JKR negeri untuk semakan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tebing Tinggi, Ismail Yaacob berkata, masalah tersebut berpunca daripada perubahan laluan air semula jadi yang suatu ketika dahulu mengalir terus ke Sungai Tok Lukop sebelum kawasan berkenaan dibangunkan.

Katanya, pembangunan perumahan dan kerja-kerja tambakan tanah yang berlaku sejak beberapa tahun lalu menyebabkan laluan asal air tertutup sehingga air gagal mengalir keluar ketika hujan lebat.
“Air daripada kawasan sekitar akan berkumpul di situ dan tidak dapat keluar dengan baik. Sebab itu walaupun hujan sudah berhenti, air masih bertakung dalam tempoh yang lama,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan sebenarnya telah dibangkitkan kepada pihak berkaitan sejak awal tahun 2000-an namun keadaan menjadi semakin ketara apabila pembangunan pesat berlaku di kawasan terbabit.
Menurutnya, kira-kira 300 penduduk terjejas setiap kali banjir kilat berlaku selain berdepan masalah air bertakung yang berbau serta ancaman haiwan seperti ular yang dibawa bersama arus.
Semalam, IMedikel TV melaporkan wakil penduduk, Siti Aishah Muhammad, 38, di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin mendakwa terpaksa berdepan masalah banjir kilat yang berlarutan hampir sebulan sehingga menyebabkan air bertakung dan berbau, sekali gus mengganggu aktiviti harian.
IMedikel TV






