Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Dana wakaf yang besar nilainya perlu diurus secara strategik dan berkesan supaya tidak terbiar, sebaliknya mampu memberi manfaat lebih luas kepada pembangunan umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelemahan dalam pengurusan dana wakaf boleh menyebabkan sumber berkenaan gagal dimanfaatkan sedangkan institusi wakaf mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi dan pembangunan masyarakat.
Beliau berkata, sejarah Islam membuktikan dana wakaf yang ditadbir dengan baik mampu melahirkan institusi penting termasuk pusat pendidikan dan keilmuan yang kekal memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Kalau banyak jaminan wakaf, dana wakaf itu diurus dengan baik dan bersih, itu satu pujian. Keduanya, ia perlu ditadbir dengan bijak dan mesti ada perancangan.
“Jika tidak, institusi wakaf dalam tradisi Islam tidak dapat berfungsi sebagai tonggak kekuatan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026 di Pulau Pinang, hari ini.
Anwar berkata, pembangunan Universiti Al-Azhar antara contoh terbaik bagaimana dana wakaf yang diurus secara amanah sejak dahulu mampu membina institusi pendidikan Islam yang berpengaruh.
Menurutnya, pemimpin dan ulama terdahulu telah melihat kepentingan merancang masa depan menerusi pengurusan dana wakaf secara tersusun sehingga memberi kesan besar kepada pembangunan masyarakat.
Beliau berkata, pengurusan wakaf masa kini perlu mencontohi pendekatan berkenaan dengan memastikan setiap dana yang diterima mempunyai perancangan jelas serta memberi pulangan manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan aspek ketelusan, integriti dan tadbir urus baik perlu menjadi asas pengurusan dana wakaf bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan.
Sementara itu, beliau turut menyentuh pembangunan Bumiputera menerusi dana RM145 juta yang disifatkan sebagai contoh kerjasama dalam memanfaatkan sumber kewangan bagi menjayakan projek pembangunan.
IMedikel TV






