BACHOK: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menyeru Universiti Malaysia Kelantan (UMK) supaya memperkukuh peranan dalam aspek diplomasi pendidikan dengan memperluas kerjasama strategik ke rantau ASEAN.
Baginda bertitah demikian sempena pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang menyaksikan negara ini terus menonjol sebagai peneraju diplomasi antarabangsa selepas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
“UMK harus berperanan dalam aspek diplomasi pendidikan dengan mengambil peluang melebarkan sayap ke rantau ASEAN melalui pengukuhan kolaborasi strategik dalam hal ehwal pendidikan tinggi.
“Contohnya, meneroka peluang dan potensi baharu di Timor Leste selain negara-negara ASEAN yang sedia ada,” titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UMK Ke-15 di sini, hari ini.
Baginda yang juga Pro-Canselor UMK, menzahirkan keyakinan bahawa penyertaan Timor Leste sebagai anggota ASEAN baharu serta pemeteraiannya perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand menjadi bukti kepada kepimpinan Malaysia dalam mendepani isu serantau.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad Fakhry turut menyarankan UMK mengambil langkah strategik dan berimpak tinggi bagi meningkatkan keterlihatan universiti itu di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang keusahawanan.
“Beta menyarankan agar diusahakan inisiatif lebih strategik dan berimpak tinggi bagi memantapkan keterlihatan UMK sebagai destinasi pengajian tinggi dalam bidang keusahawanan, termasuk dengan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat kepada tokoh kepimpinan negara rantau ASEAN,” titah baginda.
Tengku Muhammad Fakhry bertitah kesemua pihak perlu beriltizam untuk terus memartabatkan UMK sebagai universiti berteraskan keusahawanan melalui perancangan sistematik, pelan tindaka dan pelaksanaan strategik yang ampuh setelah hampir dua dekad penubuhannya.
“Beta sentiasa memantau setip perkembangan, kemajuan serta pencapaian yang diraih UMK sama ada peringkat nasional mahupun antarabangsa sepanjang tahun 2025.
“UMK perlu menyemak semula falsafah UMK sebagai universiti keusahawan dengan mengambil kira pendekatan keusahawanan yang lebih menusiawi menerusi konsep “humanistic entrepreneurship” berteraskan prinsip tauhidik di seluruh ekosistemnya,” katanya.
Titah berkenaan disampaikan pada Majlis Konvokesyen UMK Kali ke-15 yang diadakan di UMK Bachok, di sini, hari ini.
IMedikel TV






