Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram serta menahan lima lekaki tempatan dalam satu operasi di Kampung Biak, Dabong, di sini, pada Jumaat.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, serbuan dilakukan anggota Batalion 8 PGA sekitar jam 3 petang menerusi Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan mendapati terdapat lima lelaki tempatan berumur antara 24 hingga 37 tahun itu sedang melakukan aktiviti melombong emas secara haram. Kesemua mereka cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui pelbagai peralatan dan jentera berat yang digunakan dalam kegiatan berkenaan, termasuk tiga buah jentera excavator, sebuah mesin pam air, mesin palong dan beberapa karpet,”katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.54 juta.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001 dan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






