KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjanji akan segera melakukan penyesuaian selepas terpaksa berpuas hati muncul naib juara Masters China, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Tang Jie mengakui mereka gagal mengekang strategi lawan yang lebih tersusun dan efisien, sekali gus memberi kesan kepada prestasi di gelanggang.
“Dalam aksi hari ini (semalam) kami hanya cuba menyukarkan mereka untuk mendapatkan mata dan cuba bangkit semula setiap kali kehilangan mata. Mereka bermain dengan sangat baik dari segi strategi dan pergerakan.
“Mungkin kami tidak berada dalam prestasi terbaik, tetapi kami tetap perlu bermain. Kami akan menganalisis semula video perlawanan ini dan cuba membuat penyesuaian secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ee Wei menegaskan mereka tidak pernah menganggap status sebagai juara dunia mampu memberi kelebihan, sebaliknya mahu terus merendah diri dan belajar daripada pemain-pemain terbaik.
“Seperti yang kami katakan sebelum ini, apa yang sudah lepas biarlah berlalu. Kami tidak pernah berfikir bahawa kami adalah juara dunia apabila menyertai sesuatu kejohanan. Masih banyak yang perlu kami pelajari daripada pemain-pemain di peringkat atasan.
“Apabila kami masuk ke gelanggang, kami perlu berjuang menentang lawan kami dan cuba memberikan mereka tekanan dan cabaran. Kami tidak pernah berfikir tentang status juara dunia,” katanya.
Kekalahan di final Shenzhen itu bagaimanapun tetap menjadi medan berguna buat gandingan nombor tiga dunia itu untuk menilai kelemahan serta menambah baik persediaan menghadapi kejohanan seterusnya.
Mereka tumpas kepada beregu Thailand yang menduduki ranking keempat dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 8-21, 17-21, semalam. – HMetro Online –
IMedikel TV






