BAMAKO, Mali: Halima Cisse, ibu dari Mali yang mencatat rekod anak paling ramai dalam satu kelahiran, kelihatan berseri dalam foto terkini disiarkan Rekod Dunia Guinness (GWR), baru-baru ini.
Memetic laporaan Agensi menerusi Harian Metro, dia dan pasangannya, Abdelkader Arby, baru-baru ini meraikan ulang tahun keempat sembilan orang anak mereka.
Pasangan itu berasa sedikit nostalgia, lalu berkongsi di Instagram untuk mengimbau kembali perjalanan kehamilan dan kelahiran anak-anak mereka.
“Kenangan yang tidak dapat dilupakan,” tulis mereka pada kapsyen koleksi gambar itu untuk tatapan 57,000 pengikut mereka.
“Satu keajaiban hidup, kekuatan yang luar biasa, kasih sayang yang tidak terhingga. Kami amat bersyukur dengan perjalanan yang kami lalui,” tambah pasangan itu.
Satu fakta menarik, Halima pada mulanya diberitahu bahawa dia hanya hamil tujuh bayi.
Dua lagi bayi hanya dikesan selepas kerajaan Mali menerbangkannya ke Maghribi untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik pakar.
Pada 4 Mei 2021, dia selamat melahirkan sembilan cahaya mata melalui pembedahan Caesarean.
Kesemua bayi itu dilahirkan pramatang pada usia kandungan 30 minggu dengan berat masing-masing antara 0.5 hingga satu kilogram.
Mereka terdiri daripada empat bayi lelaki iaitu Mohammed VI, Elhadji, Oumar, Bah, dan lima bayi perempuan iaitu Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama serta Oumou.
Kelahiran mereka tercatat dalam GWR sebagai bilangan anak paling ramai yang dilahirkan serentak dan berjaya hidup.
Halima dan Abdelkader sebelum ini sudah mempunyai seorang anak perempuan bernama Arby, yang kini berusia enam tahun. -AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






