LONDON: Pep Guardiola sedia dipersalahkan susulan kekalahan mengejut Manchester City 2-1 di tangan Manchester United pada final Piala FA Inggeris ketika pengurus itu mengakui perancangan perlawanannya memakan diri malam tadi.
Anak buah Guardiola gagal muncul pasukan pertama memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA pada musim sama dua tahun berturut-turut selepas satu persembahan hambar di Wembley.
City jauh di bawah tahap sebenar seperti yang mereka pamerkan sepanjang kempen mengagumkan memenangi kejuaraan EPL empat musim berturut-turut, satu pencapaian yang tidak pernah dilakukan mana-mana kelab.
Dikejutkan dengan gol babak pertama menerusi pemain remaja United, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo, City hanya mampu membalas satu gol selepas rehat menerusi gol lewat Jeremy Doku.
City kelihatan lesu bagi hampir keseluruhan perlawanan namun Guardiola berkata, pelan taktikal beliau banyak yang silap berbanding keletihan selepas merangkul kejuaraan.
“Perancangan permainan saya tidak bagus. Kami tidak berada di tempat yang tepat untuk menyerang mereka. Ia keputusan saya,” katanya.
“Pemain amat fokus. Secara taktikal, ia tidak bagus. Pemain tahu mengenainya.
“Ia perlawanan yang sengit, kami memberikan lawan gol pertama dan gol kedua kami tidak menghalang mereka dengan baik.
“Separuh masa kedua lebih baik kerana kami lebih menekan. Kami ada peluang, malangnya kami hanya menyumbat gol agak terlewat sedikit.”
Guardiola mengakui ia mengecewakan untuk menamatkan satu lagi musim penuh memori buat City, yang menjuarai EPL enam kali dalam tempoh tujuh tahun terakhir.
Warga Sepanyol itu dan pemainnya akan mengadakan majlis perarakan kejuaraan di Manchester hari ini di sebalik kekalahan di Wembley dan Guardiola mahu pemainnya menikmati suasana itu.
“Tahniah kepada Manchester United. Mereka sering kali satu pasukan peralihan. Akhirnya mereka meledak dua gol dan kami tidak boleh menjaringkan gol lagi,” katanya.
“Ia mengecewakan, ia biasa pada final tetapi musim ini amat luar biasa, berjuang untuk merebut semua kejuaraan.
“Kini kami sedih tetapi esok kami meraikan pencapaian luar biasa yang kami lakukan. Kemudian kami akan tampil semula musim depan.
“Kami meraikannya minggu ini. Apabila anda mengumpul 91 mata, ia kerana anda menang banyak perlawanan. Kami perlu berbangga dengannya.”
– AFP,BH Online –
Imedikel TV






