GAZA: Hujan lebat dan suhu sejuk yang melanda Semenanjung Gaza memburukkan lagi keadaan hidup ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Israel pula terus menyekat penghantaran bekalan perlindungan seperti khemah dan barangan asas ke wilayah yang dikepung itu.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa ribut musim sejuk boleh membawa kesan buruk kepada hampir dua juta penduduk Gaza, yang kini berisiko tinggi dijangkiti penyakit dan mengalami hipotermia.

Kesan daripada serangan ketenteraan Israel selama dua tahun telah memusnahkan lebih 198,000 struktur di Gaza, menurut data PBB.
Ramai penduduk kini tinggal di khemah sementara yang tidak mampu menahan cuaca melampau, menyebabkan banjir dan kebocoran yang menjejaskan keselamatan serta kesihatan mereka.
Agensi bantuan kemanusiaan telah memberi amaran selama beberapa minggu bahawa penduduk Gaza tidak mempunyai keperluan asas untuk menghadapi musim sejuk.
Ramai yang telah dipindahkan berulang kali akibat konflik, dan kini berdepan risiko tinggi penyakit, hipotermia dan kekurangan makanan.
Israel dilaporkan terus menyekat penghantaran khemah dan barangan perlindungan atas alasan keselamatan, walaupun rayuan antarabangsa semakin meningkat.

Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna, menyifatkan ribut yang mendatang sebagai berpotensi membawa ‘kesan bencana’ kepada hampir dua juta penduduk yang tidak mempunyai tempat perlindungan selamat.
Jabatan Meteorologi Palestin turut mengeluarkan amaran banjir kilat di kawasan rendah dan lembah di Gaza serta Tebing Barat, dengan ramalan ribut petir dan angin kencang dalam beberapa hari akan datang. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






