Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa memantau beberapa kawasan tanah gambut bagi mengelak kesan jerebu dan kebakaran yang cenderung berlaku pada musim panas.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cuaca panas yang melampau akan terus melanda tiga buah negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah sehingga Julai depan.
“Perkara yang perlu dilakukan kita akan memantau beberapa kesan kebakaran di kawasan tanah gambut.
“Kalau ikut trend biasa laporan yang kita terima tempoh hari cuaca akan mula beralih dalam tempoh dua bulan tetapi benda ini mudah sangat dinamik kita akan tengok pihak maps akan bagi laporan terkini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI NRES, di sini, hari ini.
Selain itu, jelas beliau pihaknya juga akan terus memantau aras air setiap masa bagi mengambil langkah awal sekiranya perlu melakukan pembenihan awan dan sebagainya.
“Pembenihan awan ini dia bukan boleh suka-suka kita letak hantar kapal terbang terus hujan, apa yang penting nya kena tahu angin dan awan memenuhi syarat baru dia boleh buat pembenihan awan.
“Kos bukan murah jadi sebab itu kita akan pantau dan memang pihak NADMA akan terus berjaga-jaga dengan keperluan untuk pembenihan awan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kampung Aril, Melor termasuk dalam kategori Kampung Angkat Madani yang dilaksanakan oleh pihaknya.
“Kampung Aril dipilih kerana memiliki tarikan pelancongan yang tersendiri berasaskan alam semula jadi dan seni warisan yang unik,” katanya.
Jelas beliau, peruntukkan bagi program tersebut adalah sebanyak RM2.5 juta di bawah keleloan NRES di Kampung Aril.
“Antara projek yang dikenalpasti adalah Program Rumah Ibadat Hijau yang bertujuan untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestarian alam bagi memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah dan komuniti setempat,” katanya.
IMedikel TV






