Home Luar Negara UAE ‘MENAFIKAN LAPORAN’ LAWATAN RAHSIA NETANYAHU

UAE ‘MENAFIKAN LAPORAN’ LAWATAN RAHSIA NETANYAHU

20
0

BAITULMAQDIS: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis berkata, ia “menafikan laporan” bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu secara rahsia melawat negara itu, selepas pejabat Netanyahu berkata, beliau bertemu dengan presiden UAE semasa perang dengan Iran.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pejabat Netanyahu pada Rabu berkata, beliau “melakukan lawatan rahsia ke Emiriah Arab Bersatu” semasa perang, “di mana beliau bertemu dengan Presiden UAE Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.”

Pengumuman itu dibuat sehari selepas duta AS ke Israel Mike Huckabee mengumumkan bahawa Israel menghantar sistem pertahanan udara Iron Dome, serta kakitangan untuk mengendalikannya, ke UAE, semasa perang dengan Iran.

Sambil tidak mengesahkan komen Huckabee, pejabat Netanyahu berkata, lawatan itu “menandakan satu kejayaan bersejarah dalam hubungan antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu.”

UAE tidak secara langsung menafikan sebarang lawatan sedemikian, merujuk kepada “laporan” lawatan.

“Emiriah Arab Bersatu menafikan laporan yang tersebar mengenai dakwaan lawatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke UAE, atau menerima sebarang delegasi tentera Israel di negara itu,” kata kementerian luarnya dalam satu kenyataan.

“UAE menegaskan semula bahawa hubungannya dengan Israel adalah terbuka dan… tidak berdasarkan pengaturan yang tidak telus atau tidak rasmi. Oleh itu, sebarang dakwaan mengenai lawatan yang tidak diumumkan atau pengaturan yang tidak didedahkan adalah tidak berasas sepenuhnya melainkan diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan di UAE,” tambahnya.

Iran menyasarkan UAE lebih daripada mana-mana negara lain semasa perang, yang dicetuskan oleh serangan AS-Israel ke atas republik Islam itu pada akhir Februari.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa bulan lalu, UAE sejak itu melaporkan pelbagai serangan peluru berpandu dan dron dari Iran.

UAE yang kaya dengan minyak itu sekutu utama AS di rantau ini dan antara negara Arab yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel selepas menandatangani Perjanjian Abraham semasa penggal pertama Presiden AS Donald Trump pada 2020.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here