Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kebanyakan lelaki juga mempunyai masalah dalaman, tetapi mereka segan atau malu untuk berjumpa dengan doktor untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bagi lelaki yang sudah berkahwin, hubungan kelamin adalah sangat penting bagi mengeratkan lagi kasih saying suami isteri.
Namun, ada dalam kalangan lelaki mempunyai masalah untuk bersama isteri tersayang kerana masalah yang dihadapi mereka terutamanya berhubung masalah kelamin.
Masalah ejakulasi pramatang atau pancut awal adalah mimpi ngeri bagi lelaki malah kepada pasangan mereka.
Menurut portal The Malaysian Medical Gazzete, ejakulasi pramatang (pancut awal) adalah merujuk kepada kecenderungan seseorang lelaki itu untuk mengalami ejakulasi dengan terlalu cepat atau dengan rangsangan seksual yang sedikit lazimnya apabila proses hubungan seks itu baru sahaja bermula.
Ini akan mengakibatkan keresahan dan ketidakpuasan kepada kedua-dua pasangan atau salah seorang dari mereka dalam melakukan hubungan kelamin. Purata normal jangka masa penetrasi hingga mencapai ejakulasi adalah antara 2 hingga 6 minit. (Waldinger MD, Quinn P, Dilleen M, et al:2005).
Terdapat dua jenis ejakulasi pramatang, iaitu ‘lifelong’ (seumur hidup) dan ‘acquired’ (diperoleh).
Ejakulasi pramatang ‘lifelong’ berlaku pada kali pertama melakukan seks dan setiap kali aktiviti seks dilakukan.
Manakala ejakulasi pramatang ‘acquired’ pula berlaku pada lelaki yang pada awalnya mempunyai jangkamasa ejakulasi yang normal tetapi kemudiannya mendapat masalah ejakulasi pramatang.
Tidak seperti penyakit mati pucuk yang mana punca-puncanya lebih jelas, masalah ejakulasi pramatang secara umumnya tidak mempunyai faktor yang jelas yang boleh mengakibatkan masalah ejakulasi awal.

Namun ianya lebih dikaitkan dengan faktor psikologi yang meningkatkan tekanan seseorang seperti kerisauan yang melampau dan kemurungan, rasa rendah diri yang keterlaluan mahupun kesan daripada memori pahit ketika zaman kanak-kanak seperti sejarah serangan seksual dan penderaan.
Ianya juga boleh diakibatkan oleh faktor dari pihak pasangan seperti pasangan berasa takut atau sakit ketika melakukan hubungan seks. Ini juga boleh diakibatkan oleh pengalaman hubungan kelamin yang menyakitkan dengan pasangan terdahulu atau akibat pernah mengalami gangguan seksual.
Manakala keadaan ejakulasi awal sejak dari usia yang sangat muda boleh dikaitkan dengan faktor keturunan. Ianya juga dikaitkan dengan keadaan zakar yang terlalu sensitif pada sentuhan ketika dalam melakukan hubungan kelamin.
Terdapat kesan buruk ejakulasi pramatang iaituboleh menyumbang kepada masalah ketidaksuburan akibat air mani tidak dapat memasuki faraj secara optimum dan mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat.
Bagaimana ia boleh dirawat. Oleh kerana antara punca utama yang dikaitkan dengan ejakulasi pramatang adalah masalah psikologi dan tekanan, ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan kemurungan dan kerisauan terbukti mampu untuk membantu pesakit-pesakit ini.
Kaunseling untuk mengawal emosi dan tekanan juga mampu mengurangkan gejala ejakulasi awal ini. Rawatan seperti sapuan ubatan bius setempat juga ada menunjukkan keberkesanan bagi pesakit ini.
Namun, apa yang lebih penting adalah kesefahaman di kalangan pasangan agar mampu membantu pesakit untuk meningkatkan keyakinan diri dalam melakukan hubungan kelamin.
IMedikel TV






