Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memberi jaminan bahawa Malaysia masih bebas daripada jangkitan bakteria Streptococcus suis, meskipun media tempatan Thailand baru-baru ini melaporkan kematian manusia akibat jangkitan bakteria itu yang berpunca daripada ternakan babi di negara jiran tersebut.
DVS melalui kenyataan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini, berkata Streptococcus suis, juga dikenali sebagai “deafness fever”, adalah penyakit zoonotik berbahaya yang boleh menjangkiti manusia melalui luka terbuka yang terdedah kepada darah atau cecair daripada babi yang dijangkiti, atau melalui pengambilan daging babi yang tidak dimasak sempurna.
“Bakteria tersebut sering menyerang anak babi selepas bercerai susu, dan boleh menyebabkan gejala serius termasuk demam, kehilangan selera makan, tempang, meningitis, sawan serta kematian mengejut tanpa simptom awal,”menurut kenyataan itu.
Justeru, para penternak dan pengendali ternakan babi dinasihatkan untuk memastikan beberapa perkara sentiasa dipatuhi termasuk mengamalkan biosekuriti ladang yang baik, memastikan kebajikan ternakan babi sentiasa terjaga, memantau kesihatan ternakan babi setiap masa dan melaporkan dengan segera kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekiranya terdapat sebarang tanda penyakit pada ternakan babi.
DVS turut menyeru semua pihak, khususnya para penternak, agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan melaporkan segera sebarang tanda klinikal kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041.
IMedikel TV






