Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lebih 2,000 pesakit buah pinggang di Kelantan kini menjalani rawatan dialisis dan jumlah itu dijangka terus meningkat sekiranya faktor risiko kesihatan tidak dikawal dengan baik.
Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Rohana Daud berkata angka tersebut merujuk kepada pesakit yang berada pada tahap serius penyakit berkenaan.
“Selain pesakit dialisis, masih ramai pesakit berada pada peringkat awal iaitu tahap satu hingga tiga yang kini dipantau oleh pihak kesihatan.
“Peningkatan kes ini berpunca daripada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, selain masalah obesiti dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Pusat Dialisis Neo Medicare Sdn Bhd, Dewan Neo, Sri Chica, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengasas Kelab Sihat Koterapi, Prof Dr Abdul Aziz Al Safi Ismail.
Turut hadir, Pakar Perubatan Nefrologi Hospital Pasir Mas, Dr Wan Mohd Khairul Wan Zainudin dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Negeri Kelantan, Mek Jusoh.
Dr Rohana turut berkata pengambilan ubat tanpa pemantauan, termasuk ubat tahan sakit dan ubat tradisional tidak berdaftar, boleh menjejaskan fungsi buah pinggang.
“Sikap sambil lewa dalam menjaga kesihatan turut menyumbang kepada peningkatan pesakit, malah pengambilan ubat-ubatan kampung yang tidak berdaftar di luar pemantauan doktor juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang,” katanya.
Beliau berkata, penyakit buah pinggang lazimnya tidak menunjukkan gejala jelas pada peringkat awal, menyebabkan ramai pesakit hanya dikesan apabila keadaan sudah serius.
Beliau menjelaskan, kemudahan rawatan dialisis di hospital kerajaan disediakan khususnya untuk golongan memerlukan, namun kapasitinya masih terhad berikutan kekangan mesin dan fasiliti.
“Satu mesin dialisis hanya mampu menampung beberapa pesakit secara bergilir, menyebabkan sebahagian pesakit mendapatkan rawatan di pusat swasta,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan amalan gaya hidup sihat dan pencegahan awal amat penting bagi mengawal peningkatan kes penyakit buah pinggang di negeri ini.
Sementara itu, Dr Wan Mohd Khairul berkata pengesanan awal mampu memperlahankan perkembangan penyakit buah pinggang.
Katanya, pesakit yang dikesan pada peringkat awal boleh dirawat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius sehingga memerlukan dialisis.
IMedikel TV






