TEHRAN: Memetik laporan AGENSI menerysi Berita Harian, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap loji nuklear negara itu boleh mengakibatkan risiko pencemaran radioaktif rentas sempadan.
Dalam surat rasmi pada Selasa lalu kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Araqchi menyatakan beberapa fasiliti nuklear Iran termasuk Loji Janakuasa Nuklear Bushehr yang digunakan untuk tujuan aman dan berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Beliau berkata, serangan berkenaan berisiko mencetuskan pencemaran radioaktif yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar di rantau berkenaan.
Araqchi turut mendakwa dalam tempoh sembilan bulan lalu, Iran berdepan dua “perang pencerobohan”, sambil mengkritik kegagalan Majlis Keselamatan PBB dan IAEA untuk mengutuk tindakan berkenaan atau mengambil langkah pencegahan.
Dalam surat itu, beliau turut menyenaraikan beberapa siri serangan sejak 1 Mac lalu, antaranya kemudahan nuklear Natanz diserang sebanyak dua kali pada 1 Mac, serangan berhampiran loji Bushehr pada 17 Mac dan pengeboman beberapa lokasi di Natanz pada 21 Mac lalu.
Serangan berulang berhampiran loji aktif Bushehr disifatkan sebagai “amat membimbangkan” kerana boleh mencetuskan kebocoran radiasi.
Iran menegaskan tindakan tersebut melanggar beberapa resolusi antarabangsa termasuk resolusi PBB serta prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Araqchi menekankan bahawa fasiliti nuklear awam sepatutnya dilindungi sepenuhnya kerana sebarang serangan boleh mengancam keselamatan orang awam.
Beliau turut memberi amaran bahawa pencemaran radioaktif berpotensi merebak ke kawasan lebih luas termasuk Teluk Parsi, sekali gus menjejaskan kesihatan awam, ekosistem dan ekonomi negara-negara jiran.
Dalam masa sama, Iran menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi, yang didakwa mendedahkan maklumat sensitif berkaitan program nuklear negara itu.
Araqchi juga menyifatkan kenyataan yang menyentuh kemungkinan penggunaan senjata nuklear terhadap Iran sebagai berbahaya dan boleh menjejaskan kepercayaan terhadap sistem kawal selia antarabangsa.
Iran memberi amaran bahawa kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak boleh menjejaskan kredibiliti PBB dan IAEA serta melemahkan rejim kawalan penyebaran nuklear global.
Surat tersebut dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, António Guterres, serta ahli Majlis Keselamatan PBB untuk tindakan lanjut.
Perkembangan terbaru ini menyusul selepas serangan keempat berhampiran loji Bushehr, semalam yang menurut Iran meningkatkan lagi risiko kebocoran radiasi dan ancaman kepada keselamatan serantau. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






