PARIS: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro impian Lens untuk terus mencabar kejuaraan Ligue 1 menerima tamparan hebat selepas tewas 0-3 kepada seteru setempat, Lille, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Pierre Sage yang sebelum ini muncul pencabar terdekat Paris Saint-Germain, gagal menyaingi aksi bertenaga Lille dalam perlawanan seteru utara di Stade Pierre-Mauroy.
Lille membuka jaringan sejurus sebelum rehat menerusi Hakon Haraldsson hasil gerakan menarik Matias Fernandez-Pardo.
Tuan rumah kemudian menggandakan kelebihan lima minit selepas babak kedua bermula apabila Felix Correia memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang oleh Matthieu Udol.
Fernandez-Pardo melengkapkan kemenangan Lille menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Ismaelo Ganiou.
“Kami boleh kalah, tetapi bukan dengan cara ini. Kami langsung tidak tampil seperti sepatutnya,” kata Pierre Sage.
Kekalahan itu menyaksikan Lens kini ketinggalan empat mata di belakang PSG dan sudah beraksi satu perlawanan lebih, sekali gus menjejaskan peluang mereka dalam perebutan kejuaraan.
Sementara itu, Lille melonjak ke tangga ketiga selepas mencatat kemenangan kelima dalam enam perlawanan terakhir selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan aksi.
Dalam perlawanan lain, Strasbourg menewaskan Nice 3-1, namun kehilangan penjaring utama Joaquin Panichelli akibat kecederaan lutut.
Stade Rennais pula mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Stade Brestois hasil dua gol penalti Esteban Lepaul, dibantu jaringan Breel Embolo. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






