Home Buletin Semasa KPDN KENAL PASTI ENAM MODUS OPERANDI KETIRISAN BARANG KAWALAN SELURUH NEGARA

KPDN KENAL PASTI ENAM MODUS OPERANDI KETIRISAN BARANG KAWALAN SELURUH NEGARA

49
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenalpasti enam modus operandi yang mengakibatkan ketirisan barang kawalan termasuk petrol dan diesel di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, modus operandi itu dikenal pasti susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof pada 11 Mac lalu.

“Modus operandi yang pertama adalah dari segi penyelewengan yang dilakukan oleh pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) itu sendiri sama ada di depo ataupun lesen minyak dan sebagainya.

“Yang kedua adalah, penyelewengan oleh pihak ketiga yang mendapat bekalan dan tidak menyalurkan kepada saluran yang sah.

“Ada pihak yang bukan pemegang lesen CSA yang membeli jumlah tersebut beberapa kali, menyimpan kemudian menyalurkannya kepada pihak lain seperti penyelewengan yang berkait dengan subsidi diesel nelayan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi penguatkuasaan di stesen minyak sempadan dan pemantauan di pangkalan haram Ajib, To’ Deh, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Selain itu, Armizan berkata modus operandi ketiga adalah membabitkan aktiviti bunkering yang wujud unsur salah laku yang perlu diperkukuhkan lagi kawal seliaanya.

”Yang keempat adalah membabitkan percampuran semula bahan petroleum di perairan seperti bahan api subsudi termasuk RON95 yang dicampur sebelum dijual kepada pihak tertentu.

“Yang kelima pula adalah pemalsuan dokumen pembelian iaitu dari segi jumlah pembelian liter dan yang terakhir adalah penyorokan bekalan sebelum dijual ke pasaran gelap termasuk sektor industri dengan harga lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya perlu memperketatkan kawalan dan pemantauan pengederan perlu dilakukan bagi membanteras ketirisan itu.

Jelasnya, antara strategi yang dilaksanakan adalah memperkasa pelaksanaan ops sedia ada iaitu OPS TIRIS 3.0 kepada OPS TIRIS 4.0 yang lebih bersepadu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here