KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pelakon Fattah Amin bakal memfailkan semula permohonan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isterinya, Fazura selepas permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 31 Mac lalu.
Permohonan itu difailkan Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 36, berkaitan isu pelanggaran perintah mahkamah berhubung hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.
Peguam syarie yang mewakili Fattah, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan kegagalan permohonan itu sebelum ini disebabkan Hakim Syarie Tuan Salehan Yatim meminta pihaknya memperincikan beberapa perkara teknikal sebelum memfailkan semula permohonan kebenaran secara ex parte terbabit.
Menurutnya, anak guamnya mendakwa Fazura melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali termasuk memberi alasan berada di London bagi mengelak memberikan hak lawatan kepada Fattah.
“Saya dimaklumkan Fazura telah melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, antaranya tidak menunaikan janji untuk memberikan hak lawatan Nur Fatima kepada bapanya dengan alasan berada di London.
“Malah, Fattah mendakwa sejak bercerai dia mengalami kesulitan untuk bertemu anaknya, namun masih bersabar dengan sikap bekas isterinya yang kerap memberi alasan hingga sukar bertemu dengan anak kandungnya.
“Selepas banyak kali memberi muka, Fattah melantik saya untuk memfailkan permohonan ini supaya perjanjian yang telah dipersetujui di mahkamah sebelum ini dipatuhi dan dihormati.
“Penolakan yang dibuat mahkamah pada 31 Mac lalu bukan muktamad, tetapi masa prosiding dijalankan hakim syarie beritahu ada beberapa perkara yang tidak jelas dan minta diperincikan serta difailkan semula,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hak terbabit, Akberdin menjelaskan biarpun hak penjagaan penuh (hadanah) diberikan kepada Fazura, namun mahkamah menetapkan Fattah mempunyai hak untuk bermalam sebanyak dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu.
Bagaimanapun, aktor berkenaan mendakwa dia sering dihalang dengan pelbagai alasan setiap kali mahu menjalankan tanggungjawab dan memberikan kasih sayang kepada anaknya, sehingga terpaksa memilih tindakan undang-undang.
“Pihak kami akan fail semula permohonan dalam masa terdekat kerana Fattah sudah cukup bertolak-ansur selama ini.
Kali ini dia mahu mahkamah menentukan apa yang terbaik untuk menuntut haknya sebagai bapa kepada Nur Fatima.
“Hak lawatan yang sepatutnya diberikan kepada Fattah perlu dipatuhi oleh bekas isterinya. Jika tidak, pihak kami boleh memfailkannya di mahkamah,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan turut mengesahkan mengenai kegagalan Fattah memperoleh kebenaran prosiding komital pada tarikh berkenaan.
Terdahulu, dalam perkongsian di platform Threads, Fattah dikatakan mengambil tindakan undang-undang terhadap Fazura.
Seorang pengguna berkongsi jadual prosiding sebutan kes mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang memaparkan nama kedua-dua pelakon itu.
Sebelum ini, Fattah dan Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 42, mengejutkan industri hiburan apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun membina mahligai rumah tangga.
Pasangan yang berkahwin pada 27 November 2017 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan sepanjang perkongsian hidup mereka. – HMetro Online –
IMedikel TV






