Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak lapan buah rumah dan kira-kira 30 tong gas memasak hangus dan meletup dalam kejadian kebakaran di Kampung Kedai Buloh, di sini, pada jam 9.45
malam tadi.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.55 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Keseluruhan lapan rumah yang terbakar, lima daripadanya hangus 100 peratus manakala tiga lagi mengalami 10 peratus kerosakan.
“Struktur binaan daripada kayu serta jarak antara kediaman yang dekat menyebabkan api cepat merebak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui, di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Katanya, dalam kejadian itu, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal hangus terbakar.
Sementara itu, seorang mangsa, Syawal Anuar Ariffin berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak-anak tidak berada di rumah dan dihubungi sepupunya berkaitan kejadian itu.

“Apabila sampai di rumah, saya tengok rumah saya masih belum hangus sepenuhnya,” katanya.
IMedikel TV






