Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Baru-baru ini, Kelantan mencatat dua kes kematian akibat demam denggi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata kematian itu membabitkan dua lelaki dewasa.
“Jadi itulah saya harapkanlah kita tidak mahu perkara ini terus berlaku dan lebih malang lagi sekiranya berlaku kematian disebabkan oleh denggi,”katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Sambutan Jalur Gemilang bersama ketua jabatan dan kakitangan di pekarangan Wisma Persekutuan negeri Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya mendapati berlaku peningkatan bagi kes berkenaan sehingga 225 peratus iaitu sebanyak 1,514 kes demam denggi dilaporkan bagi tempoh Januari sehingga 12 Ogos lalu.
“Ditambah lagi saya jangkakan dengan cuaca yang hujan dan juga kemarau saya jangkakan sekiranya kita tidak mengambil langkah-langkah yang proaktif kiranya kita tidak menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes saya jangkakan akan meningkat ya,”katanya.
Menurutnya, kes itu semakin meningkat memandangkan perubahan cuaca yang tidak menentu pada musim sekarang.
Tambahnya, JKNK menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan antaranya, pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.
Mengulas lanjut, walau bagaimanapun, jumlah kes denggi pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding jumlah kes denggi sebelum pandemik COVID-19 iaitu penurunan 50.0% berbanding kes denggi pada tahun 2020 sebanyak 3030 kes.
Zaini berkata, lokaliti titik panas kes demam denggi adalah sekitar Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.
Imedikel TV






