LONDON: Selepas menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama dalam tempoh 22 tahun, Arsenal kini berpeluang memenangi Piala Eropah pertama dalam sejarah kelab apabila menentang Paris Saint-Germain dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 30 Mei nanti.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, namun, walaupun mereka gagal melengkapkan ‘double’ bersejarah itu, pasukan kendalian Mikel Arteta tetap bakal mencipta rekod baharu.
The Gunners kini muncul sebagai kuasa kewangan baharu dalam dunia bola sepak tanpa mengira apa yang berlaku di Budapest nanti.
Arsenal dijangka mencatat pendapatan sehingga £770 juta (RM4.096 bilion) musim ini jika mereka menewaskan PSG, manakala £760 juta (RM4.04 bilion) sudah pun terjamin walau apa keputusan final tersebut.
Jumlah itu mengatasi rekod terdahulu milik Manchester City sebanyak £715 juta (RM3.08 bilion) pada musim 2023-24, musim selepas mereka memenangi treble.
Keputusan kewangan luar biasa itu juga boleh melonjakkan Arsenal ke tangga ketiga dalam senarai kelab terkaya dunia, hanya di belakang Real Madrid dan Barcelona.
Namun pakar kewangan bola sepak percaya peningkatan perbelanjaan untuk perpindahan pemain dan gaji mungkin menyebabkan kelab London itu masih merekodkan kerugian.
Kieron O’Connor, penulis blog kewangan bola sepak Swiss Ramble, berkata: “Ia akan menjadi rekod baharu Liga Perdana Inggeris dari segi pendapatan. Arsenal dijangka meningkat daripada £691 juta musim lalu kepada sekitar £770 juta, dan itu memang sangat besar.”
Jika Arsenal menjuarai Liga Juara-Juara, mereka juga akan layak secara automatik ke Piala Dunia Kelab FIFA 2029.
Walaupun pandangan terhadap kejohanan musim panas itu bercampur-campur, satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah jumlah wang yang diperoleh Chelsea selepas menjuarainya.
Dalam era Chelsea ditekan dengan peraturan Financial Fair Play, £90 juta (RM478 juta) yang mereka raih hasil kejayaan di Amerika Syarikat banyak membantu kelab itu.
Bagi memecahkan angka pendapatan Arsenal musim ini, mereka memperoleh tambahan £25 juta (RM132 juta) daripada Liga Perdana Inggeris seperti semua kelab lain serta bonus £3 juta (RM15.9 juta) kerana menjuarai liga.
Akan ada lagi peningkatan pendapatan liga yang belum ditentukan untuk semua kelab susulan kenaikan hak penyiaran televisyen luar negara bagi musim 2025-26.
Selain itu, penaja komersial seperti Emirates dan Adidas dipercayai mempunyai klausa bonus dalam kontrak mereka untuk kejayaan memenangi trofi, yang boleh memberi tambahan sehingga £25 juta (RM132 juta), sesuatu yang biasa bagi kelab elit.
Pendapatan Arsenal daripada hak penyiaran dan hadiah UEFA pula dijangka mencecah £124 juta (RM659 juta) dengan tambahan £4 juta (RM21 juta) lagi sekiranya mereka memenangi Liga Juara-Juara. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






