Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Institusi keluarga yang kukuh menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat harmoni, berakhlak mulia dan penuh kasih sayang.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Rohani Ibrahim, berkata peranan wanita khususnya golongan ibu perlu terus diperkasa kerana mereka merupakan “arkitek sosial” yang membentuk acuan peradaban ummah serta benteng pertama dalam mendepani cabaran globalisasi masa kini.

“Seorang wanita yang bergelar ibu perlu sentiasa ditabalkan sebagai insan yang paling dikasihi kerana kasih sayang dan jasa seorang ibu bukan calang-calang tahapnya.
“Ibu sanggup mempertaruhkan nyawa ketika hamil dan melahirkan anak serta setia membesarkan mereka sejak kecil tanpa mengharapkan sebarang balasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata perubahan gaya hidup moden serta penggunaan media sosial dalam kehidupan harian kini memberi kesan terhadap corak komunikasi dan hubungan sesama ahli keluarga.
“Bukan itu sahaja, peningkatan kos sara hidup turut mendorong kebanyakan keluarga bekerja lebih keras bagi memenuhi keperluan dan tuntutan kehidupan semasa.
“Saya memahami cabaran dan pengorbanan seorang ibu dalam menguruskan keluarga serta membesarkan anak-anak terutama ketika berdepan situasi tidak dijangka,”katanya.
Katanya, cabaran membesarkan anak-anak pada masa kini jauh berbeza berbanding puluhan tahun lalu, lebih-lebih lagi bagi golongan ibu tunggal yang memikul tanggungjawab secara bersendirian.
Beliau berkata, golongan itu wajar diberikan bantuan dan sokongan sewajarnya menerusi peranan ahli keluarga, institusi serta pemimpin masyarakat.
Tambah beliau, agensi sokongan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat agama boleh membantu memperkukuh institusi kekeluargaan serta meneruskan advokasi supaya golongan lelaki tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu tunggal.
IMedikel TV






