Home Buletin Semasa JPNIN TUBUH KELAS PINTAR DI SEKOLAH ANGKAT MADANI

JPNIN TUBUH KELAS PINTAR DI SEKOLAH ANGKAT MADANI

378
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan, di sini, terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di bawah inisiatif yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud, berkata sehubungan itu pihaknya menubuhkan sebuah kelas pintar atau “Smart Classroom” sebagai platform pelajar di sekolah berkenaan bagi meneroka bidang teknologi seperti robotik dan memperkasa pendidikan berasaskan teknologi di peringkat sekolah.

“Setakat ini, kita memperoleh dua buah robotik yang digunakan untuk menggalakkan pelajar meminati kepada dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Mereka akan bergilir menggunakan kelas ini mengikut pertukaran jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Santuni MADANI Rukun Tetangga Daerah Tumpat dan Perasmian Sekolah Angkat MADANI bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SMK Mahmud Mahyidin, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 73 sekolah di negeri ini terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI, termasuk 25 buah di jajahan Tumpat, manakala satu lagi di bawah inisiatif JPNIN.

Beliau berkata, pihaknya mendapat peruntukan sebanyak RM100,000 secara sekali beri (one off) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan serta peneraju industri dan korporat bagi memperkasa aspek pendigitalan.

“Di sekolah ini, kita menaik taraf kelas, menambahbaikan pendawaian serta menambah peralatan atau aset-aset seperti Smart TV, robotik dan sebagainya bagi menjadikan ia satu kelas yang pintar,” katanya.

Tambahnya, JPNIN turut menyantuni komuniti setempat di sekitar Kampung Baru, Pasir Pekan termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), di samping merancang kerja-kerja baik pulih surau serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kemasyarakatan lain demi kesejahteraan penduduk setempat.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri menyatakan bahawa inisiatif itu bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi lambang komitmen kolektif dalam memperkasa pendidikan negara secara inklusif dan berperikemanusiaan, dengan penglibatan sektor korporat, penjawat awam dan komuniti setempat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here