NEW DELHI: Menjadi sejarah baharu apabila sebuah pesawat bagi penerbangan haji India hanya membawa jemaah wanita dan dikendalikan secara eksklusif oleh krew wanita dan telah tiba di Jeddah dari negeri selatan, Kerala malam kelmarin.
Penerbangan Air India Express dari Kozhikode membawa 145 jemaah haji wanita. Ia dikendalikan Kapten Kanika Mehra, Pegawai Pertama Garima Passi bersama empat kru kabin.
Di lapangan terbang, kumpulan wanita itu ditemani Menteri Hal Ehwal Minoriti, John Barla yang mengedarkan pas masuk kepada jemaah.
“Saya sangat bangga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Haji Kerala, C Mohammed Faizi kepada Arab News.
Penumpang penerbangan khas itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 4,000 jemaah wanita India yang tahun ini akan sampai ke Makkah dan Madinah secara bersendirian.
Berikutan keputusan tahun lalu oleh Arab Saudi India menarik balik peraturan mewajibkan jemaah haji wanita ditemani mahram atau penjaga lelaki india juga mula mengubah dasar hajinya.
Kebanyakan jemaah India yang memohon menunaikan haji dalam kategori Wanita Tanpa Mahram adalah dari Kerala.
“Tanpa mahram, terdapat kira-kira 2,000 … jumlah terbesar tanpa mahram adalah dari Kerala,” kata Faizi, mengaitkan jumlah yang tinggi itu dengan tahap pendidikan di Kerala dan hakikat bahawa ramai wanita di negeri itu biasa mengembara ke Asia Barat untuk bertemu saudara mereka yang bekerja di sana.
Kerala tahun ini juga mempunyai peratusan keseluruhan yang lebih tinggi daripada jemaah haji wanita berbanding negeri India yang lain.
“Enam puluh peratus adalah wanita,” kata Faizi.
Umat Islam membentuk kira-kira satu perempat daripada 35 juta penduduk Kerala.
Kira-kira 11,000 umat Islam di Kerala akan menunaikan haji tahun ini di bawah kuota India sebanyak 175,000 dengan kira-kira 60 peratus daripada mereka adalah wanita. –
Sumber BH Online & AGENSI
Imedikel TV






