Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik yang berkunci dari dalam di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu di sini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, mangsa yang juga seorang penganggur ditemukan oleh ibunya sebelum pihak polis dan petugas perubatan dari Hospital Tumpat tiba di lokasi kejadian.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat ditentukan berikutan keadaan mayat yang telah mereput.
“Keputusan bedah siasat direkodkan sebagai Unascertained (Decomposed Body),” katanya.
Mohd Khairi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan setakat ini siasatan tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






