PARIS: Polis semalam menahan lebih 200 individu di Paris selepas tercetus pertempuran ganas ketika ribuan penyokong membanjiri jalan raya susulan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, seramai 22,000 anggota polis dikerahkan di seluruh Perancis untuk perlawanan itu termasuk 8,000 di Paris, selepas insiden rusuhan mencemari kemenangan PSG dalam pertandingan sama tahun lalu.
Perkhidmatan tram di Paris dihentikan, beberapa stesen metro ditutup dan perkhidmatan bas digantung di beberapa lokasi bagi mengurangkan gangguan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, seramai 326 individu ditahan di seluruh negara termasuk 235 yang ditahan di Paris.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa ramai yang direman bagi siasatan lanjut.
Menurut Ibu Pejabat Polis Paris, enam kenderaan dan dua premis perniagaan dilaporkan mengalami kerosakan selain seorang anggota polis mengalami kecederaan.
Sekumpulan penyokong turut menceroboh jalan lingkaran Paris, Peripherique sehingga menyebabkan aliran trafik terhenti seketika sambil menyalakan suar, menurut jurugambar AFP di lokasi.
Menurut polis, ketika penyokong meraikan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti dramatik di Budapest, Hungary, kira-kira 20,000 orang berhimpun di Champs-Elysees.
Premis perniagaan memasang papan penutup pada tingkap mereka sebelum perlawanan bagi mengelakkan insiden berulang seperti tahun lalu apabila kumpulan belia merompak kedai di Champs-Elysees dan beberapa jalan lain.
Ratusan individu ditahan ketika itu.
Sebanyak 24 suar dan kira-kira 100 bunga api dirampas semalam (Sabtu), manakala sebuah hentian bas berhampiran Champs-Elysees dimusnahkan.
Perlawanan itu turut berlangsung pada malam yang sibuk di Paris dengan penyanyi Aya Nakamura mengadakan persembahan di Stade de France, rapper Damso membuat persembahan di La Defense Arena, selain kejohanan tenis Terbuka Perancis yang sedang berlangsung.
Polis memaklumkan sebuah kedai roti dan restoran berhampiran Stadium Parc des Princes milik PSG mengalami kerosakan.
Puluhan ribu penyokong berkumpul di dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan, manakala antara 4,000 hingga 5,000 orang berada di luar stadium dan membaling objek ke arah anggota polis.
Menurut jurucakap polis, kira-kira 150 individu cuba memasuki stadium melalui salah satu pintu masuk, namun berjaya dihalang polis.
Sebahagian daripada mereka turut cuba mendirikan sekatan jalan menggunakan basikal sewa, namun tindakan itu dapat dihalang polis.
Seorang wartawan AFP di lokasi berkata, pertempuran tercetus antara polis dan penyokong berhampiran stadium dengan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata selepas bunga api dibaling ke arah mereka.
Insiden itu mencetuskan kemarahan golongan kanan jauh Perancis dengan calon presiden tiga kali, Marine Le Pen, menulis di platform X, ‘Only in France’ kemenangan sebuah kelab bola sepak mencetuskan rusuhan.
“Hanya di Perancis semua orang merasakan mereka perlu berkurung di rumah pada malam kemenangan bagi mengelakkan berdepan keganasan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, berkata sistem keselamatan yang ‘sangat kukuh dan mantap’ telah disediakan bagi mengekang keganasan.
“Tanggungjawab kami adalah memastikan semua orang dapat meraikan kemenangan dalam suasana yang tenang dan selamat sepenuhnya,” kata jurucakap polis.
Pemain PSG dijadual menyertai perarakan pada petang ini (Ahad) di Champs-de-Mars di hadapan Menara Eiffel yang dijangka dihadiri kira-kira 100,000 orang, sebelum diraikan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Istana Elysee. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






