BUDAPEST: Paris Saint-Germain (PSG) berjaya mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi final yang sengit di Arena Puskas, awal pagi tadi.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Arsenal bermula cemerlang apabila Kai Havertz meletakkan wakil England itu di depan seawal minit keenam menerusi rembatan deras yang menewaskan penjaga gol PSG, Matvey Safonov.
Jaringan itu meletakkan PSG dalam tekanan dan juara Perancis berkenaan berdepan kesukaran untuk menembusi pertahanan Arsenal yang dianggap antara paling ampuh di Eropah.
Namun, Ousmane Dembele berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti selepas Cristhian Mosquera menjatuhkan Khvicha Kvaratskhelia di dalam kotak penalti.
Kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol kemenangan sepanjang baki permainan sebenar dan masa tambahan yang berlangsung dalam suasana penuh berhati-hati.
Aksi kemudian ditentukan menerusi penentuan penalti.
PSG memanfaatkan peluang itu dengan lebih baik apabila Gabriel gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas percubaannya melambung tinggi melepasi palang gol.
Keputusan itu membolehkan PSG menang 4-3 sekali gus mempertahankan kejuaraan Eropah yang dimenangi musim lalu.
Kejayaan itu turut menyaksikan PSG muncul kelab kedua dalam era UCL yang berjaya menjulang trofi berprestij itu dalam dua musim berturut-turut.
Pengendali PSG, Luis Enrique, menyifatkan kejayaan mempertahankan gelaran juara Eropah musim ini lebih bermakna berbanding musim lalu kerana mereka sedar cabaran besar yang menanti ketika berdepan Arsenal pada aksi final.
“Ia lebih bermakna berbanding tahun lalu kerana sebelum perlawanan lagi kami tahu betapa sukarnya untuk berdepan Arsenal.
“Bagi sebuah kelab dan sebuah bandar, kejayaan ini sesuatu yang luar biasa dan saya fikir kami sememangnya layak menjadi juara berdasarkan prestasi sepanjang musim.
“Final ini adalah satu pertarungan yang sebenar,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






