BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tetap ingin menghapuskan semua pemimpin Hamas sebagai syarat bagi menamatkan perang di Gaza.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, perkara itu dinyatakan beberapa jam sebelum lawatan diplomat kanan Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio ke Israel, yang turut menegaskan sokongan jitu AS kepada Israel walaupun selepas serangan ke atas Hamas di Qatar.
“Ketua Hamas yang tinggal di Qatar tidak peduli terhadap rakyat Gaza. Mereka menghalang semua usaha gencatan senjata demi melanjutkan perang ini tanpa penghujung.
“Menghapuskan mereka akan menghilangkan halangan utama dalam usaha membebaskan semua tebusan kita dan menamatkan perang ini,” katanya di platform X.
Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Rubio menyatakan Presiden AS, Donald Trump ‘tidak puas hati’ dengan serangan ke atas Hamas di Qatar, namun hubungan sekutu antara AS dan Israel tidak akan terjejas.
“Ia tidak akan mengubah sifat hubungan kita dengan Israel, tetapi kita perlu berbincang, khususnya apakah kesan tindakan ini terhadap usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata di Gaza,” kata Rubio.
Perbincangan mengenai gencatan senjata terus menemui jalan buntu walaupun selepas berbulan-bulan rundingan dan pada masa sama, Israel memperhebatkan kempen ketenteraannya di Semenanjung Gaza.
Sementara itu, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang menuduh Netanyahu sebagai ‘satu-satunya halangan’ dalam usaha membebaskan tebusan, dan mendakwa beliau berulang kali menggagalkan rundingan gencatan senjata.
Daripada 251 orang yang diculik oleh kumpulan pejuang Palestin pada Oktober 2023, seramai 47 masih ditahan di Gaza, termasuk 25 yang menurut tentera Israel, sudah meninggal dunia. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






