Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Di sebalik wajah tenang dan senyuman yang tidak pernah lekang, Nurul Nabilla Abdul Majid, 18, menyimpan kisah hidup yang tidak semua gadis seusianya mampu tempuhi.
Nabilla berasal dari Pos Blau yang terletak kira-kira 45km jauh ke pedalaman dari bandar Gua Musang.
Namun, ketika usianya 11 tahun, Nabilla dihantar ke Rumah Anak Yatim Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) di Taman Sabariah, Kota Bharu.
Bukan kerana tiada kasih sayang, tetapi kerana keluarganya percaya tempat itu memberi peluang lebih baik untuk masa depannya.
Dan hari ini, pengorbanan itu mula membuahkan hasil apabila Nabilla ditawarkan menyambung pengajian dalam bidang Diploma Pengimejan Perubatan di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak.

“Saya gembira dan bersyukur, pada awalnya saya risau tentang bayaran yuran pendaftaran. Tetapi alhamdulillah ada insan baik yang memberi sumbangan kepada saya.
“Saya juga tiada kelengkapan asas seperti laptop untuk belajar nanti,” katanya.
Anak kepada pasangan suami isteri Abdul Majid dan Siti Fazila ini berkata dia ingin berjaya dan membantu keluarga untuk mengubah nasib mereka.
“Saya mahu berjaya demi keluarga saya. Saya mahu buktikan bahawa anak dari pedalaman pun boleh berjaya jika diberi peluang,” katanya.
Nabilla yang juga anak kedua daripada lapan beradik berkata ayahnya adalah seorang penoreh getah manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
Nabilla perlu melapor diri ke kampus pada 20 Julai depan dan masih dalam proses melakukan persiapan ke sana.
IMedikel TV






