Home Luar Negara KERETA API LAJU INDONESIA CATAT REKOD BAHARU

KERETA API LAJU INDONESIA CATAT REKOD BAHARU

450
0

JAKARTA: Kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung, di Indonesia, yang dikenali sebagai Whoosh, mencatat rekod baharu dengan mengangkut lebih 25,000 penumpang dalam sehari, jumlah tertinggi sejak perkhidmatan itu mula beroperasi pada Oktober 2023, lapor Xinhua.

Memetik laporan Bernama-Xinhua menerusi Harian Metro, PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC), konsortium usaha sama antara syarikat Indonesia dan China yang membina dan mengendalikan perkhidmatan itu, pada Ahad memaklumkan Whoosh membawa 25,316 penumpang pada Sabtu, mengatasi rekod terdahulu sebanyak 24,350 penumpang yang dicatat pada 27 Januari 2025.

“Sejak mula beroperasi pada Oktober 2023, Whoosh mengangkut sejumlah 9.2 juta penumpang. Kami berterima kasih kepada semua yang memilih Whoosh sebagai pengangkutan awam mereka.

“Pencapaian ini mencerminkan peranan Whoosh yang semakin berkembang sebagai pilihan mobiliti yang pantas, selesa dan moden,” kata Eva Chairunisa, pengurus besar setiausaha korporat PT KCIC, dalam satu kenyataan.

Chairunisa berkata, peningkatan jumlah penumpang bermula pada Jumaat apabila Whoosh mencatat 22,000 penumpang dalam sehari.

“Rekod jumlah penumpang ini dicapai sempena cuti panjang Hari Wesak. Ramai orang menggunakan Whoosh untuk bercuti bersama keluarga ke destinasi seperti Bandung, Jakarta dan Karawang,” tambahnya.

Sejak Februari 2025, KCIC mengendalikan 62 perjalanan Whoosh setiap hari. Tren di laluan Jakarta-Bandung beroperasi setiap 30 minit, manakala perkhidmatan ke dan dari Karawang tersedia setiap jam. – BERNAMA-XINHUA, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here