Home Buletin Semasa GENGGAM DUA IJAZAH DEMI JADI DOKTOR HAIWAN, RAIH ANUGERAH DIRAJA

GENGGAM DUA IJAZAH DEMI JADI DOKTOR HAIWAN, RAIH ANUGERAH DIRAJA

336
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tidak semua orang sanggup mengorbankan masa muda untuk mengejar impian, namun Mohammad Auzaie Afandi, 33, membuktikan bahawa semangat dan kesungguhan mampu membuahkan hasil.

Lulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini bukan calang pelajar, ini kerana sebelum menggenggam ijazah keduanya, Auzaie terlebih dahulu menamatkan pengajian dalam bidang Sains Perubatan di University College Cork, Ireland selama empat tahun bermula 2017.

Namun, impiannya sejak kecil untuk menjadi seorang doktor haiwan akhirnya mendorong Auzaie kembali ke kampus meskipun ramai rakan seusianya sudah bekerja dan berkeluarga.

“Sebelum ini saya tidak mempunyai kesempatan untuk meneruskan minat dan keinginan ini secara mendalam.

“Jadi saya tidak kisah perlu mengambil masa lama sekalipun, kerana minat mendalam terhadap bidang perubatan veterinar ini sudah ada sejak kecil lagi walaupun latarbelakang pendidikan saya berbeza daripada pelajar lain,” katanya ketika dihubungi IMedikel TV.

Antara yang menjadi pencetus semangat untuk Auzaie melanjutkan pengajian dalam bidang veterinary adalah saat kehilangan kucing kesayangannya akibat komplikasi ubat.

“Kehilangan itu membuat saya lebih tekad. Saya mahu memberi kasih sayang dan rawatan terbaik kepada haiwan lain,” katanya.

Anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, bahkan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja, serta Anugerah Kijang Emas di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dan memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 selain menerima Anugerah Dekan selama tujuh semester dan lima anugerah dalam industri.

“Sejak dari semester satu, saya sudah target untuk mendapat Anugerah Kijang Emas kerana hadiah yang ditawarkan agak lumayan dan saya sendiri memerlukan motivasi untuk mendorong berusaha lebih tekun.

“Ia boleh menjadikan saya seorang pelajar yang cemerlang dan seorang doktor yang berilmu, apabila saya dapat Anugerah Kijang Emas itu, saya rasa usaha saya selama ini terbalas dan mendapat kepuasan atas hasil usaha kita,” katanya.

Jelasnya, Anugerah DiRaja pula bukan sahaja menjadi lambang kejayaan peribadi, malah turut membawa makna sebagai simbol penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu, mendorong, dan mendoakan kejayaannya.

Sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, Auzaie tidak pernah lupa untuk menjaga kesihatan mental dan rutin rohaninya ketika belajar.

“Saya juga sering membaca ayat kursi sebagai penerang hati dan doa sebelum peperiksaan, solat hajat dan pastikan dapat restu ibu bapa. Itu yang menjadi kekuatan saya,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian PhD dalam bidang Patologi Veterinar secara fastrack.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here