Home Buletin Semasa EPOKU AKAN DITAMATKAN JIKA TIDAK BEKERJA

EPOKU AKAN DITAMATKAN JIKA TIDAK BEKERJA

203
0

KUALA LUMPUR: Bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) akan ditamatkan sekiranya golongan OKU tidak lagi bekerja.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) insentif tersebut diberikan kepada golongan OKU yang bekerja dengan pendapatan RM1500 dan ke bawah. Namun apabila pendapatan telah meningkat atau penerima tidak lagi bekerja, maka kelayakan itu akan terbatal.

Baru-baru ini, KPWKM menerima satu video yang tular di media sosial Facebook dan TikTok berhubung seorang warga emas OKU yang telah ditamatkan bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU).

Menurut kenyataan media, video tular itu dirakamkan di hadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Aras Bawah Menara Teo Chew, di sini.

Setelah semakan dibuat, penama telah menerima bantuan EPOKU iaitu satu insentif kerajaan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, mampu hidup berdikari dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Penerima telah menerima EPOKU berjumlah RM450.00 bermula pada bulan September tahun 2020 hingga bulan Ogos 2023.

JKM telah melakukan penelitian semula pada September 2023 dan mendapati penama tidak lagi bekerja.

Sehubungan dengan itu, EPOKU penama telah ditamatkan JKM, mengambil kira penama menerima Bantuan Sara Hidup Tentera, bantuan bakul makanan MAWIP dan bantuan bulanan Baitulmal yang berjumlah RM950.00 setiap bulan selain isteri penama yang menerima pencen sebagai pesara kerajaan.

JKM menawarkan pelbagai jenis skim bantuan bergantung kepada kategori penerima.

EPOKU adalah merupakan antara skim bantuan untuk golongan OKU selain daripada Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT).

Namun, syarat-syarat kelayakan perlu dipatuhi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berhak menerima bantuan sahaja akan diberikan insentif ini.

Sumber kerajaan adalah terhad dan insentif atau bantuan kepada golongan tertentu adalah berdasarkan kelayakan.

Kementerian juga ingin mengingatkan masyarakat untuk bertanggungjawab terhadap perkongsian di media sosial kerana kesan penularan berita palsu ini boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan tidak berasas kepada orang awam. – KPWKM –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here