GAZA: Israel semalam didakwa mula mengebom kawasan pelabuhan barat Gaza dengan bom fosforus putih, yang boleh mengakibatkan sesak nafas, kata sumber perubatan Palestin.
Sumber mengesahkan serangan itu menyebabkan beratus-ratus rakyat Palestin mengalami sesak nafas, dengan sejumlah besar daripada mereka dibawa ke hospital, manakala yang lain menerima rawatan perubatan di lokasi konflik.
Kata sumber lagi, kebanyakan yang mengalami kecederaan ialah dalam kalangan kanak-kanak dan orang tua, terutamanya mereka yang sudah mempunyai masalah pernafasan yang sedia ada.
Menurut koresponden Agensi Anadolu, kawasan yang luas di barat Gaza dilaporkan tertutup dengan asap fosforus putih.
Bom fosforus putih dilarang di peringkat antarabangsa di bawah Konvensyen Geneva 1980, yang secara jelas melarang penggunaannya sebagai senjata pembakar terhadap manusia dan alam sekitar.
Usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak Israel masih tidak berhasil dalam tempoh waktu tempatan (1300GMT), sebagaimana dilaporkan Agensi Anadolu.
Dalam perkembangan itu, tentera Israel dikesan terus melancarkan kempen ketenteraan yang berterusan dan kuat di Semenanjung Gaza, sebagai tindak balas terhadap serangan tentera oleh kumpulan Palestin Hamas di wilayah Israel.
Konflik bermula apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa terhadap Israel dan serangan mengejut pelbagai serampang, termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut, dan udara itu dikatakan Hamas sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Al -Masjid Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Ia juga sebagai tindak balas keganasan peneroka Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.
Sebagai tindak balas kepada tindakan Hamas itu pula, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi di Semenanjung Gaza.
Ia diperluaskan dengan pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, sehingga memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak yang sudah dikepung sejak 2007.
– AGENSI, BH Online –
IMEDIKEL TV






