Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Para pelajar teruja dapat menyertai Pertandingan teknologi terulung, Malaysia Techlympics 2023.
Pelajar Tingkatan Dua, Mohamad Adam Faqih Mohd Nizam, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, Gua Musang, berkata dia berminat dalam subjek Sains sejak darjah 2.
“Saya minat dalam subjek Sains dari sekolah rendah. Saya teruja dapat menyertai pertandingan ini bersama tiga lagi rakan yang lain.
“Pertandingan ini dapat membantu saya lebih pendedahan dalam dunia teknologi dan sains,”katanya kepada pemberita selepas Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2023 dan Malaysia Techlimpycs 2023 Peringkat Zon Timur, di Dewan Jubli Perak, di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohamad Adam, kumpulan mereka yang disertai oleh Khairul Aidil Hariff, Aiman Mukhriz Muhsin dan Dinniey Azril Azrulnizam mencipta tong sampah yang diinovasi sebagai Robot Cleaner.

“Kegunaan robot ini untuk membersihkan sampah untuk menjimatkan lebih banyak masa.Robot ini mempunyai sensor untuk mengesan sampah.
“Tangan robot ini diperbuat daripada besi aluminium manakala di bahagian bawah ada vacuum untuk menyedut habuk. Robot ini juga dicipta untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar,”katanya.
Guru penasihat, Wan Kamal Wan Salleh berkata pendedahan sains dan teknologi seperti itu dapat mengembangkan minat pelajar mempelajari subjek Sains.

“Ini adalah pertama kali pelajar didedahkan dengan pertandingan seperti ini, jadi mereka seronok. Mereka cukup bersemangat untuk mempelajari benda baharu.
“Di sini mereka boleh menggunakan mesin pencetak 3 dimensi (3D), kalau di sekolah mereka hanya menggunakan pen 3D. Mereka cipta menggunakan thinker cad melalui laptop sebelum menggunakan mesin pencetak 3D,”katanya.
Menurutnya, walaupun berbeza cara penggunaan, namun dia bangga apabila pelajar dari sekolah luar bandar dapat memahami inovasi baharu dengan mudah dan cepat.
IMedikel TV






