PETALING JAYA: Bukan mudah buat Aqasha menyesuaikan diri dengan dua pelakon wanita berbeza yang berkongsi watak Gusti Puteri dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).
Memetik laporan Berita Harian, Aqasha, 44, berkata, biarpun Mila Mohsin dan Aisha Retno membawa watak sama, masing-masing ada pendekatan dan energi tersendiri yang menuntutnya menyesuaikan rentak lakonan bagi memastikan kesinambungan emosi pementasan terpelihara.
“Walaupun kedua-duanya membawakan watak sama, mereka adalah dua individu berbeza dengan pendekatan dan energi berlainan.
“Situasinya seumpama mencintai dua individu berbeza, namun, objektif dan motivasi watak tetap sama bagi memastikan kesinambungan emosi pementasan tidak terputus,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan PGLM di sini, baru-baru ini.
Aqasha meluahkan rasa syukur apabila impian untuk membawa watak Laksamana Hang Tuah akhirnya jadi kenyataan selepas pernah memegang peranan sebagai pelakon gantian (understudy) bagi watak berkenaan, kira-kira 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, peluang itu tidak hadir dengan mudah apabila dia masih perlu menjalani uji bakat secara tertutup bagi membolehkan pihak produksi menilai kemampuannya menghidupkan watak pahlawan Melayu legenda itu.
Malah, Aqasha mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk membawa watak berkenaan sehingga sanggup menemui penulis skrip pementasan itu, Adlin Aman Ramlie, bagi menyuarakan keinginannya.
“Ketika musim kedua, saya diberi peluang sebagai pelakon gantian (understudy) untuk watak Hang Tuah yang asalnya diterajui Stephen Rahman-Hughes manakala watak Gusti Puteri dibawakan Puan Sri Tiara Jacquelina.
“Kami dalam kalangan pelakon gantian turut diberi peluang beraksi dalam satu persembahan khas. Ketika itu, saya digandingkan dengan Baby Erin,” katanya.
Bagi mendepani komitmen sebanyak 20 pementasan, Aqasha berkata, dia memulakan latihan fizikal intensif sejak dua bulan lalu, termasuk rutin di gimnasium, senaman regangan serta latihan pengukuhan seni persilatan bagi membentuk fizikal seorang pahlawan.
Selain itu, dia turut mengamalkan pengambilan madu bagi membantu menjaga kualiti suara dan memastikan stamina kekal bertenaga sepanjang pementasan.
Mengakui tarian dan silat menjadi cabaran terbesar kerana bukan seorang penari, Aqasha berkata, dia perlu memberikan perhatian khusus kepada setiap pergerakan bagi memastikan persembahannya kelihatan meyakinkan.
“Tarian dan silat adalah cabaran terbesar kerana saya bukan seorang penari.
“Saya perlu menghafal petak pergerakan, langkah tari dan bunga silat. Penonton yang arif dalam seni persilatan pasti dapat mengesan jika pergerakan itu kelihatan canggung atau sumbang,” katanya.
Berkongsi debaran menjelang pementasan yang berbaki kira-kira tiga minggu lagi, Aqasha berkata, tekanan untuk memberikan persembahan terbaik mula terbawa-bawa ke dalam kehidupan hariannya.
Akuinya, fikiran mengenai tuntutan watak Hang Tuah sering berlegar-legar sehingga mengganggu waktu tidurnya.
“Malam pun tidur tidak lena kerana fikiran sentiasa ligat memikirkan dinamik lakonan, ‘blocking’, tempo bersama rakan pelakon, gerak silat serta tuntutan emosi.
“Boleh dikatakan setiap hari jiwa saya hidup dalam watak Tuah,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






