Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Impian seorang pekebun durian yang ingin memenangi hadiah pertama loteri musnah apabila kerugian sebanyak RM202,460 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran nombor ramalan tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian di Maran itu bermula pada 25 November tahun lalu selepas mangsa, seorang wanita berusia 63 tahun melihat satu iklan video di Facebook memaparkan seorang sami dari selatan Thailand menawarkan perkhidmatan tilik nasib kewangan.
Katanya, warga emas berkenaan tertarik dengan tawaran tersebut kemudian telah menghubungi suspek pertama melalui telefon dan dimaklumkan bahawa mangsa boleh mengubah nasib dengan membeli tiket loteri Magnum 4D serta berpeluang memenangi hadiah utama.
“Mangsa kemudian diarahkan berurusan dengan seorang individu lain yang didakwa sebagai ejen di Kelantan bagi tujuan pembayaran.
“Mangsa seterusnya dimaklumkan telah memenangi hadiah tempat pertama loteri sebanyak RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataan, di sini kelmarin
Menurutnya, bagi membolehkan wang kemenangan tersebut dikeluarkan mangsa telah diminta membuat beberapa bayaran kononnya bagi tujuan urusan pihak bank dan cukai pindahan wang antara negara.
Katanya, bermula 23 Disember 2025 sehingga 22 Mei 2026 mangsa telah membuat sebanyak 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM202,460.
Bagaimanapun, katanya mangsa tidak menerima sebarang wang kemenangan seperti yang dijanjikan dan mangsa kemudiannya menyedari dirinya telah diperdaya dan membuat laporan polis.
Azry Akmar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan sendiri serta hasil pajakan barang kemas.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran kemenangan loteri, nombor ramalan atau hadiah lumayan yang diterima melalui media sosial dan aplikasi komunikasi.
“Jangan membuat sebarang bayaran bagi tujuan proses cukai, yuran pelepasan, caj bank atau bayaran lain sebelum membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan,” katanya.
IMedikel TV






