Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 152 notis pada Operasi Khas Bersepadu di Jalan Tun Ismail dan perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, di sini kelmarin.
Operasi tertumpu bagi mengesan kenderaan yang diubah suai secara ekstrem khususnya membabitkan sistem ekzos yang menghasilkan bunyi bising sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, berkata operasi turut disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan PVR Kuantan.
Katanya, sebanyak 152 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan, tindakan tegas menyita motosikal Yamaha 135LC dilakukan kerana kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan berkenaan.

“Turut disita kereta jenis Volkswagen Scirocco atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“JPJ Pahang sentiasa komited untuk memastikan setiap kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi peraturan dan spesifikasi teknikal yang ditetapkan. Tidak menimbulkan rasa tidak selesa pihak lain terutama membabitkan bunyi.
“Pengubahsuaian kenderaan hendaklah dilakukan mengikut ketetapan undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman masyarakat,” katanya, di sini kelmarin.
Jelasnya usaha mengesan kenderaan yang mengeluarkan bunyi bising diatas jalan raya dilakukan secara berterusan terutama lokasi yang menjadi tumpuan golongan remaja berkumpul.

Beliau berkata, jabatan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang melakukan kesalahan, tindakan tegas sentiasa menunggu mereka yang degil.
“Kita tidak akan berkompromi dengar pemandu yang melanggar peraturan serta undang-undang, tindakan tegas menanti mereka terbabit.
“Jabatan tidak berniat untuk menyusahkan pihak terbabit, nasihat saya mereka perlu mematuhi semua peraturan yang ada dalam memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
IMedikel TV






