KUALA LUMPUR: MYAirline Sdn Bhd terpaksa membuat penggantungan operasi yang berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak.
Menurut kenyataan media awal pagi ini, Lembaga Pengarah MYAirline berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu terpaksa menggantung operasi berikutan berlaku tekanan kewangan yang ketara.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana memahami kesan terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan juga rakan kongsi.
“Pihak kami juga telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai perkongsian dan pilihan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada inisiatif lain selain mengambil keputusan ini,”katanya.

MYAirline menyatakan, pihaknya akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin namun, buat masa ini mereka perlu menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat penerbangan itu.
Bagaimanapun, berhubung kesulitan itu, MYAirline akan terus komited untuk membantu orang ramai sekaligus menasihatkan penumpang yang terjejas supaya mereka tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka. – MYAirline
IMedikel TV






