Washington: Kesemua enam anak kapal di dalam pesawat pengisian bahan api tentera Amerika Syarikat (AS) yang terhempas di barat Iraq disahkan terbunuh, kata tentera AS pada Jumaat.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, sebuah pesawat pengisian bahan api tentera AS terhempas di barat Iraq pada Khamis, dalam satu kejadian yang dikatakan tentera membabitkan pesawat lain tetapi bukan akibat tembakan musuh atau rakan.
Kematian itu menambah kepada anggota perkhidmatan AS ketujuh yang terbunuh sebagai sebahagian daripada operasi AS menentang Iran yang bermula pada 28 Februari.
“Keadaan kejadian itu sedang disiasat. Bagaimanapun, kehilangan pesawat itu bukan disebabkan oleh tembakan musuh atau rakan,” kata satu kenyataan daripada Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM).
Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa pesawat kedua yang terbabit dalam nahas itu, yang mendarat dengan selamat, juga pesawat pengisian bahan api tentera yang dikenali sebagai KC-135.
AS mengerahkan sejumlah besar pesawat ke Timur Tengah untuk mengambil bahagian dalam operasi menentang Iran dan insiden itu menonjolkan risiko bukan sahaja operasi, tetapi juga pengisian semula bahan api pesawat di udara.
KC-135, yang dibina oleh Boeing pada 1950-an dan awal 1960-an, berfungsi sebagai tulang belakang armada pengisian bahan api udara tentera AS, dan penting untuk membolehkan pesawat menjalankan misi tanpa perlu mendarat.
IRI, sebuah kumpulan bersenjata yang disokong Iran, mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pengisian bahan api tentera AS.
Reuters melaporkan pada Selasa bahawa seramai 150 tentera AS cedera dalam perang AS – Israel ke atas Iran. Berita mengenai nahas itu pada hari sama dua kelasi AS cedera selepas USS Gerald Ford mengalami kebakaran yang tidak berkaitan dengan pertempuran di atas kapal.
Tujuh tentera pertama AS terbunuh apabila sebuah dron merempuh sebuah kemudahan tentera AS di Port Shuaiba, Kuwait. – REUTERS, HMetro Online-
IMedikel TV






