Home Buletin Semasa KEBAKARAN DI HOTEL MAKKAH, 70 JEMAAH MALAYSIA SELAMAT 

KEBAKARAN DI HOTEL MAKKAH, 70 JEMAAH MALAYSIA SELAMAT 

86
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa kira-kira 70 jemaah Malaysia selamat selepas insiden kebakaran yang berlaku pada jam 5 petang waktu tempatan, Khamis lalu, di Hotel Mira Ajyad, Makkah, Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan maklumat mengenai kejadian itu segera diterima dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan Umrah Malaysia bagi memastikan keselamatan semua jemaah Malaysia yang menginap di hotel berkenaan.

“Maklumat awal menunjukkan bahawa jemaah Malaysia yang terlibat berada di bawah kelolaan TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel. Ketiga-tiga agensi pengurusan mengesahkan bahawa semua jemaah berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.

“Pemeriksaan susulan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira jam 7.20 malam waktu tempatan mendapati beberapa jemaah berkumpul dengan selamat di kawasan sekitar hotel,”menurut kenyataan itu semalam.

Kementerian memaklumkan bahawa punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi dan tiada petunjuk menunjukkan insiden itu berpunca daripada serangan dron atau unsur sabotaj.

“Para tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sehingga siasatan dan pemeriksaan keselamatan selesai.

“Sekiranya terdapat kelewatan, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas,” kata kenyataan tersebut.

Kementerian melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau situasi dengan rapat dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia untuk memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.

Jemaah Malaysia di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing. 

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,”menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here